Opera Cina bertahan menerusi atas talian ketika pandemik 


Angie Tan

Seni persembahan Opera Cina dapat ditonton secara dalam talian di laman web Classic Accents. – 19 Julai, 2020.

KUMPULAN opera, boneka dan muzik klasik Cina kurang mendapat sambutan dan ia diburukkan lagi dengan perintah kawalan pergerakan berikutan penularan Covid-19 namun mereka beralih kepada persembahan secara atas talian. 

Laman Classic Accents turut menerima derma bagi membantu kumpulan seni persembahan itu bertahan pada tempoh pandemik yang menyebabkan mereka tidak dapat membuat pertunjukan sehingga hujung tahun ini.

Pengasas Classic Accents Chong Keat Aun berkata, kumpulan ini tidak menerima sokongan kerajaan mahu pun komersial, tidak seperti seni persembahan pentas lain.

Mereka adalah penghibur yang hanya membuat persembahan ketika sambutan perayaan masyarakat Cina seperti Festival Hantu Lapar dan Hari Sembilan Maharaja Dewa dengan solekan dan pakaian tradisional. 

“Walaupun ini adalah seni tradisi dalam budaya Cina, persembahan semakin berkurangan dan ia menjadi industri yang suram,” kata Chong, yang merupakan bekas penyampai radio kini berusaha untuk mempertahankan budaya warisan Cina itu.

“Pandemik Covid-19 memberi kesan kepada kehidupan mereka, dan ada di antara mereka membubarkan kumpulan atau menjual perniagaan mereka. 

“Saya tidak mahu lihat seni ini lenyap,” kata Chong kepada The Malaysian Insight ketika menjelaskan sebab Classic Accents diwujudkan. 

Menerusi laman web ini, penghibur ini terutamanya yang lebih berusia dan tidak tahu menggunakan internet, boleh mendapatkan bantuan bagaimana untuk mengadakan persembahan atas talian. 

Ia juga memberi peluang kepada mereka untuk terus menghidupkan seni persembahan itu. 

Chong berkata, kumpulan ini tidak berpeluang untuk membuat persembahan sehingga hujung tahun. 

“Mereka bergantung kepada aktiviti di tokong untuk peluang mengadakan persembahan. Namun tahun ini kebanyakan kuil membatalkan aktiviti mereka.

“Tambahan pula, tokong biasanya bergantung kepada penganut. Tahun ini, disebabkan pandemik, derma biasanya berkurang. Kumpulan ini biasanya tidak menerima sebarang jemputan persembahan lagi kerana untuk menjimatkan wang atau faktor lain.”

Rakaman persembahan ini turut dibantu oleh penerbit profesional, jurugambar, juruaudio dan jurutera penata cahaya untuk menjayakannya. – Gambar ihsan Classic Accents, 19 Julai, 2020.

Chong berkata mereka yang lebih berusia dalam kumpulan ini teruja untuk menyertai projek persembahan atas taliannya. 

“Masih banyak kumpulan persembahan ini yang menghubungi kami, ramai yang mengatakan tiada pendaatan dan mahu menyertainya.”

Laman Classic Accents miliknya itu turut mengetengahkan seni persembahan Melayu seperti Wayang Kulit dan tarian tradisional Kelantan. 

Jadi terdapat banyak kumpulan seni persembahan tradisi ini. 

Classic Accents merancang untuk menyiarkan 12 persembahan di laman webnya. Yang pertama ditayangkan pada 4 Julai, dan rakaman selebihnya sedang berlangsung. 

Chong berkata, proses rakaman melibatkan penerbit profesional, jurugambar, juruaudio dan jurutera penata cahaya yag mana beliau tidak mampu untuk membiaya khidmat profesional. 

“Kami hanya mampu bayar sedikit sahaja, tetapi mereka gembira kerana dapat bantu kami membuat rakaman.”

Beliau turut melihat masih ada harapan kerana ramai yang berminat, termasuk yang bukan Cina hadir menghargai persembahan tradisional ini. 

“Apabila kumpulan ini membuat persembahan pentas, tidak ramai penonton yang faham bahasa mereka. 

“Namun dengan mengadakannya secara atas talian, kita boleh tambahkan sarikata. Kita tambah sarikata bahasa Cina dan Inggeris kepada setiap video agar ia sampai kepada pelbagai kumpulan etnik.

Episod pertama yang disiarkan 4 Julai lalu mendapat maklum balas yang baik, dengan kunjungan pengguna internet dari Singapura dan Hong Kong. 

“Mengadakan persembahan atas talian boleh membantu orang ramai menghargai mereka dan akan menghalang seni ini dari terus lenyap. 

“Warga emas yang menghargai seni ini juga gembira kerana mereka masih boleh menontonnya secara atas talian.”

Classic Accents menetapkan RM50,000 sebagai sasaran kutipan dana awal untuk membantu kumpulan persembahan dan sehingga kini telah mengumpulkan  RM52,000.

Chong berkata beliau akan ke Pulau Pinang tidak lama lagi untuk bekerjasama dengan kumpulan seni rakyat Cina di sana untuk merakam persembahan mereka dan menambahkannya ke koleksi laman web.

“Saya harap dapat teruskan cara ini dengan pelbagai kumpulan seni persembahan lain agar ia tetap hidup.” – 19 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen