Kerajaan stabil jamin pemulihan ekonomi, kata Khairy


Mohd Farhan Darwis

Untuk jangka masa pendek, kerajaan Perikatan Nasional yang dibentuk dengan majoriti dua ahli Parlimen mampu mentadbir, walaupun sukar, kata Menteri Khairy Jamaluddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2020.

AHLI Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata mandat baharu kerajaan diperlukan untuk pemulihan ekonomi jangka masa panjang negara, susulan wabak Covid-19.

Namun begitu, menteri sains, teknologi, dan inovasi itu berkata, untuk jangka masa pendek, kerajaan Perikatan Nasional yang dibentuk dengan majoriti dua ahli Parlimen mampu mentadbir, walaupun sukar.

“Dalam jangka masa panjang, pemulihan ekonomi sangat penting dan dalam beberapa bulan perlu dipastikan kita mampu pulih segera, tetapi ia akan mengambil masa berbulan dan mungkin setahun, atau setahun setengah yang memerlukan mandat yang kukuh dan kerajaan yang lebih stabil,” kata Khairy.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media di Parlimen, hari ini.

“Sekarang semua tahu jumlahnya, 111 dan 109, tidak dinafikan itu, tiada perbahasan mengenai jumlah. Itu majoriti yang sangat kecil dan menjadikan keadaan sukar untuk kerajaan tetapi tidak mustahil.

“Kita masih boleh uruskan urusan kerajaan walaupun dengan majoriti yang sangat tipis, kita masih boleh luluskan rang undang-undang, laksanakan polisi dan Kabinet masih boleh bersidang,” kata Khairy, lagi.

Katanya, keutamaan sekarang bagaimanapun adalah pemulihan awal ekonomi, sebelum menjurus kepada pilihan raya.

“Itu adalah bahagian paling penting dalam pemulihan daripada pandemik, kita kena pastikan, tidak seperti negara lain yang berlakunya gelombang dan kluster baru,” kata Khairy.

“Jadi kita boleh mentadbir, tidak menjadi masalah dengan majoriti dua undi, kita harus fokus kepada pemulihan segera dan menyiapkan Belanjawan untuk November dan Rancangan Malaysia ke-12 pada Januari.

“Tetapi lebih baik ada mandat yang lebih kukuh,” katanya.

Proses pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat semalam menyaksikan perbezaan keputusan undian memihak kepad kerajaa sangat tipis.

Ia sekaligus mencetuskan kebimbangan kedudukan rapuh kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin.

“Sudah tentu kuasa perdana menteri tentukan waktu pilihan raya, tetapi sebagai anggota pentadbiran, saya berpendapat selepas kita atasi bahagian penting fasa pemulihan.

“Untuk jangka masa panjang, kita harus memperbaharui mandat kerana pemulihan yang kuat untuk ekonomi memerlukan kerajaan yang lebih stabil,” kata Khairy, lagi. – 14 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen