Azhar tak dipilih, institusi demokrasi negara tercemar, kata kumpulan Dr Mahathir


Proses pengundian memilih Azhar Harun tidak dibuat, yang berlaku hanyalah pengundian tukar speaker, kata kumpulan Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2020.

SPEAKER Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun tidak dipilih ahli Parlimen kerana tiada proses pengundian dijalankan, kata kumpulan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Kami menegaskan bahawa speaker yang ada hari ini bukanlah yang dipilih ahli-ahli Dewan Rakyat kerana proses pengundian tidak diadakan,” kata Dr Mahathir dalam satu kenyataan bersama-sama lima lagi wakil rakyat yang setia kepadanya.

“Parlimen merupakan gedung bercakap. Suara rakyat mesti dimartabatkan melalui wakil rakyat di Parlimen. Apabila Kedaulatan Undang-Undang atau Rule of Law diketepikan institusi demokrasi negara akan tercemar dan terhakis.”

Kumpulan itu berkata sangatlah dikesalkan apabila bekas speaker Mohamad Ariff Md Yusoff digantikan tanpa sebab kukuh dan perbahasan dicemari dengan kelakuan tidak beradab beberapa wakil kerajaan.

“Pembangkang tidak diberi masa yang cukup untuk membahas suatu usul yang julung-julung kali dalam sejarah Dewan Rakyat Malaysia.

“Kami juga kesal apabila speaker yang baharu, Azhar Harun terus mengambil tempat mempengerusikan mesyuarat tanpa Usul No.3 dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan usul-usul semasa persidangan Dewan Rakyat dibahaskan dan diundi oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Pembangkang juga dinafikan hak mengemukan calon speaker apabila notis 14 hari tidak diberi apabila berlaku kekosongan jawatan pada 13 Julai 2020,” kata kumpulan itu lagi.

Mereka turut meluahkan rasa tidak puas hati dengan cara timbalan speaker Nga Kor Ming digantikan dengan Azalina Othman Said (Pengerang- BN).

“Apabila beliau (Nga) meletak jawatan, seharusnya notis 14 hari dikeluarkan bermula dari tempoh tersebut dan bersesuaian dengan Usul No.5 Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul.

“Agak pelik Ahli Parlimen Pagoh (Muhyiddin Yassin) tidak meneruskan pencalonan Azhar Azizan Harun untuk pengundian oleh ahli-ahli Dewan Rakyat memandangkan pihak ‘Perikatan Nasional’ telah pun mendapat undi majoriti 111 ketika usul mengosongkan speaker.”

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Dr Mahathir (Langkawi), Syed Saddiq Abdul Rahman (Muar), Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Dr Shahruddin Md Salleh (Sri Gading). – 14 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen