SEBELAS program bermatlamat meningkatkan pendapatan kumpulan isi rumah 40% terendah (B40) tidak mencapai objektifnya kerana ketiadaan maklumat yang disahkan mengenai penerima bantuan, kata Jabatan Audit Negara.
Program itu adalah di bawah Program Sosio-Ekonomi untuk B40 Jabatan Perdana Menteri, kata agensi audit negara itu dalam Laporan Audit Negara 2018 Siri 3.
Terdapat 22 program, separuh daripadanya dilaksana memenuhi objektif, tetapi separuh lagi hanya mempunyai kadar penglibatan sebanyak 38.5%.
“Pada pendapat Audit, sasaran penyertaan peserta yang ditetapkan UPE tidak tercapai dan tidak dapat disahkan memandangkan data yang dikemukakan tidak disertakan dengan dokumen sokongan yang lengkap.
“Pelaksanaan 11 program yang tidak meningkatkan pendapatan kumpulan B40 menyebabkan objektif utama PPKK tidak tercapai,” kata laporan lagi.
“Semakan Audit mendapati tahap pencapaian outcome program tidak dapat dinilai kerana BPE tidak menyediakan data peserta untuk mengukur peratus kebolehpasaran peserta dalam bidang pekerjaan/keusahawanan.
“Perkara ini menyebabkan pengesahan peningkatan pendapatan terhadap peserta tidak dapat dilakukan,” tambahnya.
Program itu pada mulanya diuruskan oleh Bahagian Pembangunan Ekuiti (BPE) di Jabatan Perdana Menteri bermatlamat meningkatkan pendapatan perserta B40 melalui latihan kemahiran, keusahawanan dan pendidikan.
Pengurusan kemudiannya dipindahkan kepada EPU (Unit Perancang Ekonomi), juga di bawah JPM.
Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam responds kepada hasil audit berkata kejayaan program dinilai dalam bentuk jumlah peserta dan sama ada mereka sudah mula bekerja, masih tidak bekerja atau melanjutkan pengajian.
“Beberapa agensi tidak menghantar data walaupun amaran berulang kali diberikan,” tambahnya.
Ia juga mendedahkan yang data pekerjaan dan gaji peserta sukar diperolehi kerana ia adalah maklumat peribadi.
Tambahnya, data berkenaan selalunya diperolehi menerusi perhubungan antara pelatih dan peserta dan dilaporkan dalam laporan program.
Antara kelemahan program dikesan laporan audit termasuklah kesahihan penglibatan program tidak dapat disahkan kerana ketiadaan dokumen sokongan.
Wujud juga kes pelatih tidak berpengalaman dan pelatih tiada hubungan industri bagi memudahkan penempatan industri kepada peserta.
Kerajaan memperuntukkan RM258.9 juta untuk program pada 2016 sehingga 2018, tetapi kurang separuh jumlah itu dibelanjakan.
Setakat 31 Disember 2018, enam agensi menerima peruntukan berjumlah RM108.80 juta, atau 54.4% daripada jumlah peruntukan sebenar.
Perbelanjaan rendah itu disebabkan kelewatan pengesahan kelulusan permohona oleh Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
Mengulas hasil audit itu, PTPK berkata EPU menyalurkan RM58.50 juta pada 17 Oktober 2017 kepadanya, apabila ia disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkaitan pembiayaan program untuk kumpulan B40.
Tambahnya, proses permohonan ketika itu tidak dapat diproses kerana penyedia perkhidmatan tidak menghantar proposal lengkap.
Kelemahan lain yang turut dikesan termasuklah kelemahan pengurusan kewangan agensi pelaksanaan termasuklah perbelanjaan tidak dibenarkan berjumlah RM377,000 serta pembayaran semula berjumlah RM3.5 juta walaupun sebelum kontrak ditandatangani.
Laporan juga mendapati pembayaran besar berjumlah RM2.16 juta, pelantikan pihak ketiga tanpa kelulusan dan pemilihan peserta yang tidak selari dengan garis panduan program. – 14 Julai, 2020.
Komen