4 kes baharu Covid-19, 4 pesakit pulih


MALAYSIA hari ini merekodkan empat kes baharu Covid-19, kesemuanya melibatkan kes import, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Kes jangkitan tempatan kini kembali sifar, tambah beliau.

Tiada kes kematian juga dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kematian sehingga kini kekal 122 orang.

“Jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,729, oleh itu jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah sebanyak 83 kes,” kata Dr Noor Hisham pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Selain itu, empat pesakit pesakit pulih hari ini, menjadikan keseluruhan kes sembuh kini 8,524 orang atau 97.7%.

Sehingga kini juga, terdapat enam pesakit Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU),  yang mana dua kes memerlukan bantuan pernafasan, tambah beliau. 

Dr Noor Hisham berkata empat kes baharu yang membabitkan kes import itu, tiga adalah rakyat Malaysia manakala seorang warga Rusia yang mendapat kebenaran masuk ke negara ini atas urusan kerja.

Warga Rusia yang didedahkan jantinanya itu tiba semalam dan disahkan positif melalui ujian RTK Antigen. Pesakit kini diletakkan di wad isolasi di Hospital Sungai Buloh.

Kementerian Kesihatan (KKM) juga mendapati individu berkenaan adalah kontak rapat dengan dua lagi warga Rusia dari kluster Novgorod.

Sehingga hari ini, 22 orang telah disaring termasuk lima kes positif dalam kluster Novgorod, manakala kesemua 17 kontak rapat telah disampel dan dikesan negatif Covid-19.

Ketika ini tiga pesakit dari kluster tersebut dirawat di Hospital Sungai Buloh dan dua lagi di Hospital Melaka, dengan seorang dirawat di ICU. – 14 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen