Argentina bingung kelasi di laut dijangkiti Covid-19


57 kelasi kapal di Argentina sah positif Covid-19 selepas 35 hari di laut, walaupun sudah menjalani kuarantin 14 hari dan diuji negatif sebelum belayar. – Gambar AFP, 14 Julai, 2020.

ARGENTINA cuba menyelesaikan misteri perubatan selepas 57 kelas dijangkiti Covid-19 selepas 35 hari berada di laut, walaupun kesemua mereka diuji negatif sebelum meninggalkan pelabuhan.

Kapal Echizen Maru kembali ke pelabuhan selepas sebilangan anak kapalnya menunjukkan gejala biasa Covid-19, kata jabatan kesihatan untuk wilayah Tierra del Fuego, semalam.

Menurut pihak berkuasa kesihatan, 57 daripada 61 kelasi diuji positif Covid-19.

Bagaimanapun, semua anak kapal sudah menjalani kuarantin mandatori 14 hari di sebuah hotel di bandar Ushuaia dan diuji negatif sebelum dibenarkan ke laut.

Dua anak kapal lagi diuji negatif dan dua lagi sedang menunggu keputusan ujian.

Dua lagi kelasi dimasukkan ke hospital.

“Sukar untuk tentukan bagaimana anak kapal dijangkiti, memandangkan selama 35 hari mereka tidak ada hubungan dengan darat dan bekalan hanya dibawa dari pelabuhan Ushuaia,” kata Pengarah Kesihatan Tierra del Fuego Alejandra Alfaro.

Pasukan perubatan sedang memeriksa “kronologi simptom anak kapal untuk mengesahkan kronologi jangkitan,” katanya.

Ketua Jabatan Penyakit Berjangkit Ushiaia Regional Hospital Leandro Ballatore berkata, beliau percaya kes ini tidak pernah dilapor dalam mana-mana kajian kerana tempoh inkubasi selama ini tidak pernah digambarkan sebelum ini.

“Kami masih tak boleh jelaskan bagaimana gejala ini wujud,” katanya.

Anak kapal sudah diasingkan dalam kapal itu dan kembali ke pelabuhan Ushuaia.

Argentina melaporkan lebih 100,000 kes pada Ahad dengan jumlah korban naik kepada 1,859 orang. Kebanyakan kes berlaku di kawasan Buenos Aires. – AFP, 14 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen