HAB teknologi India, Bangalore diletakkan bawah perintah perintah berkurung semula mulai hari ini, susulan peningkatan mendadak kes Covid-19.
India secara beransur-ansur melonggarkan sekatan sejak perintah berkurung dilaksanakan pada Mac, bagi mengurangkan kesan pandemik ke atas ekonomi negara itu.
Bagaimanapun, jumlah jangkitan melonjak melepasi 900,000 kes semalam, dengan 24,000 kematian direkodkan sehingga kini, menurut data yang dikeluarkan kementerian kesihatan.
Selain Mumbai dan New Delhi paling teruk terjejas, Bangalore yang mempunyai 13 juta penduduk kini dikenal pasti sebagai titik panas baharu jangkitan.
Pihak berkuasa semalam umum perintah berkurung selama seminggu akan bermula pada jam 8 malam (waktu tempatan) hari ini. perkhidmatan pengangkutan dilarang kecuali untuk kecemasan dan hanya kedai menjual barangan keperluan dibenarkan buka.
Firma-firma IT di Bangalore juga boleh beroperasi tetapi hanya separuh kakitangan sahaja dibenarkan berada dalam bangunan pada satu-satu masa.
Perintah berkurung juga dikenakan di bandar Pune, yang mencatatkan 1,333 kes baharu Covid-19 semalam. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di Pune kini 40,000 dengan 23 kematian. – AFP, 14 Julai, 2020.
Komen