
SEORANG ahli Parlimen BN mencadangkan kerajaan menubuhkan satu skim seperti Felda yang tidak berasaskan kaum untuk membantu seluruh rakyat keluar dari kemiskinan.
Ahmad Maslan mencadangkan peserta menerima lima ekar tanah melalui skim itu yang menurutnya dapat memberi manfaat pada 405,441 isi rumah bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).
Ahli Parlimen Pontian itu berkata, tanah berkenaan boleh diagihkan daripada kawasan rizab Melayu yang diwujudkan untuk tujuan itu.
“Saya cadangkan supaya tanah rizab Melayu diwujudkan bagi memberi mereka Felda 2.0 tanpa mengira kaum.
“Tak kira Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Dusun, Sabah, Sarawak, Semenanjung, bagi (setiap peserta) lima ekar tanah,” katanya dalam ucapan di Dewan Rakyat.
Jumlah itu lebih kecil berbanding tanah 10 ekar yang diterima setiap peneroka Felda sedia ada, kata bekas timbalan menteri itu lagi.
Jelasnya, isi rumah miskin itu perlu dibantu disebabkan jumlah berkenaan semakit bertambah dengan kenaikan kadar PGK daripada RM980 kepada RM2,208.
“(Dengan kenaikan itu) menjadikan (peningkatan) jumlah isi rumah miskin 16,653 kepada 405,441 isi rumah atau 10% kelompok terbawah isi rumah,” kata Ahmad.
Dalam perbahasannya, Ahmad juga mengharapkan kerajaan dapat menambah kembali tanah rizab Melayu untuk membolehkan perkara itu dilaksanakan untuk membantu kumpulan isi rumah miskin.
Laporan media pada 2014 menyebut, kawasan rizab tersebut kini tinggal seluas 3.6 juta hektar atau 20% daripada 12.8 juta hektar keseluruhan tanah rizab Melayu di Semenanjung. – 14 Julai, 2020.
Komen