Gugur speaker bukti Perikatan mahu kawal Parlimen, kata pembangkang


Mohamad Ariff Yusof Md Yusoff digugurkan sebagai yang dipertua Dewan Rakyat melalui sokongan majoriti tipis yang diperoleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di hari pertama sidang Parlimen semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Julai, 2020.

PENGGUGURAN Mohamad Ariff Yusof Md Yusoff sebagai yang dipertua Dewan Rakyat membuktikan kerajaan Perikatan Nasional mahu mengawal Parlimen, kata Pakatan Harapan.

Ketua Setiausaha PH Saifuddin Nasution berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana badan perundangan wajib bebas dari kawalan eksekutif.

“Pakatan Harapan amat kesal dengan sikap Kerajaan hari ini yang kelihatan mahu meletakkan Parlimen di bawah telunjuk eksekutif.

“Parlimen sebagai badan perundangan wajib bebas dari sebarang unsur kawalan dari luar,” katanya dalam kenyataan bersama setiausaha PH.

Beliau mengulas pengguguran Mohamad Ariff dari jawatan speaker melalui sokongan majoriti tipis diperolehi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di hari pertama sidang Parlimen semalam.

Seramai 111 ahli Dewan Rakyat menyokong usul tersebut berbanding 109 yang menentang.

Ia turut menyebabkan timbalan Mohamad Ariff, Nga Kor Ming meletak jawatan sebagai tanda solidariti.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata peristiwa tersebut akan kekal sebagai titik hitam dalam sejarah demokrasi negara.

Ini kerana Malaysia menjadi negara pertama dalam kalangan negara Komanwel yang menggugurkan speaker Parlimen melalui proses yang “tempang”.

Jelasnya, pembangkang tidak berpeluang membahaskan usul menggugurkan Mohamaf Ariff dan juga mengundi untuk pelantikan speaker baharu Azhar Azizan Harun.

“Kami juga berasa kesal dengan perbahasan usul tersebut, di mana hanya empat orang pembahas dibenarkan berbahas dengan masa hanya 10 minit seorang.

“Bagi suatu usul yang bersejarah seperti ini, seharusnya lebih banyak masa diperuntukkan bagi mendengar sepenuhnya hujah kedua-dua belah pihak,” katanya.

Hujah pembangkang meminta tempoh 14 hari untuk menamakan calon juga tidak diendahkan, katanya.

Azhar semalam menjelaskan pengundian untuk calon speaker itu tidak perlu dilakukan kerana hanya nama beliau dikemukakan untuk jawatan itu.

Pakatan Harapan tidak menamakan calon tetapi mempertahankan agar Mohamad Ariff dikekalkan di jawatan tersebut. – 14 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen