POLIS Kuala Lumpur sedang mengenal pasti pendatang tanpa izin (PATI) yang terlibat dalam aktiviti gengsterisme di sekitar Kuala Lumpur.
Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata, perkara ini bertujuan supaya pasukan polis dapat mengenal pasti PATI yang terlibat dengan aktiviti gengsterisme.
“Kami sedang mengenal pasti anggota kumpulan samseng dan lokasi persembunyian mereka. Harapnya kami boleh buat operasi secepat mungkin untuk tangkap mereka.
“PATI di sini tak buat samseng. Mereka datang sini dan tubuhkan puak atau kumpulan tapi ada antara mereka yang masuk kumpulan samseng tempatan yang dah wujud lama,” katanya dalam sidang media di Program Kepolisian Masyarakat di Pasar Borong Kuala Lumpur hari ini.
Tambah Mazlan, kadar jenayah di kawasan pasar borong telah menurun 54.2% berbanding tahun lepas.
“Terdapat 60 kes tahun ini di mana 32 daripada itu melibatkan jenayah kekasaran dan 28 kes lagi melibatkan jenayah harta benda. Ini berbanding dengan 131 kes tahun lepas,” katanya. – 5 Disember, 2017.
Komen