Pengusaha hotel, industri pelancongan Sarawak mohon lebih banyak bantuan 


Desmond Davidson

Pengusaha hotel di Sarawak berkata mereka akan berdepan kesukaran sekiranya tiada lagi bantuan rangsangan ekonomi dari kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2020.

PENGUSAHA hotel dan pemain industri pelancongan berkata mereka akan berdepan kesukaran sekiranya tiada lagi bantuan rangsangan ekonomi dari kerajaan dalam masa akan datang dan memudahkan akses kepada mereka yang sedia ada.

Pengusaha hotel di negeri ini mengatakan dengan jumlah penerimaan pelancong rata-ratanya di bawah 25% pada masa ini, dan industri pelancongan mengalami kerugian bagi penerimaan pelancong sebanyak RM11.57 bilion yang akan menyebabkan 243,000 pekerjaan - 15,000 daripadanya dalam industri perhotelan - terancam, mereka mungkin tidak mampu bertahan selama enam bulan berikutnya tanpa lebih banyak bantuan.

Menurut Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF), penerimaan pelancong mewakili 8.72% Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak manakala 243,000 pekerjaan itu merupakan 19/1% daripada jumlah keseluruhan pekerjaan di negeri itu.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Sarawak Ibrahim Nordin memberitahu The Malaysian Insight pengusaha hotel akan berdepan masalah pada September hingga ke akhir tahun.

Bagaimana perniagaan hotel ini berkembang selepas perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) tamat pada Ogos akan menentukan sama ada mereka kekal bertahan atau akan gulung tikar, kata Nordin.

Ketika Sarawak mula melonggarkan sekatan terhadap warga asing dan bukan penduduk tetap Sarawak, kadar tempahan hotel, selain yang diwartakan sebagai “hotel kuarantin”, mula menunjukkan sedikit peningkatan, kata Nordin.

Beliau berkata ketika ini kebanyakan hotel ahli MAH mempunyai kadar penginapan bawah 25% manakala kadar bagi hotel kecil, termasuk hotel bajet yang merupakan ahli Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBA), masih satu angka.

“Penutupan selama tiga bulan sangat mencabar kepada industri terutamanya kepada hotel yang lebih kecil,” kata Nordin merujuk kepada pelbagai langkah yang diambil kerajaan sejak 18 Mac bagi mengekang penularan Covid-19, termasuk penutupan sempadan dan sekatan perjalanan.

Katanya, kebanyakan hotel yang mempunyai inventori 200 bilik “menikmati kemewahan tempahan penuh” dan menjana pendapatan selepas dijadikan hotel kuarantin untuk menampung kos operasi mereka, hotel yang lebih kecil berdepan kesukaran.

MAH Sarawak mempunyai 85 ahli dengan 11,876 bilik.

Tujuh daripada ahlinya adalah hotel bertaraf lima bintang, 14 bertaraf 4 bintang dan 34 bertaraf 3 bintang.

Angka terkini menunjukkan terdapat 596 hotel dengan 20,891 buah bilik di negeri itu.

Pengusaha hotel percaya ia akan mengambil masa 12 hingga 24 bulan untuk pulih sekiranya kawalan pergerakan ditamatkan sepenuhnya pada akhir Ogos, Nordin berkata “lebih banyak bantuan” diperlukan bagi membantu hotel mengekalkan kakitangan mereka dan memenuhi kos operasi.

“Kita memerlukan lebih banyak sokongan daripada kerajaan negeri dan persekutuan untuk bertahan.

“Bantuan kewangan pakej rangsangan Sayang Sarawak, Prihatin dan Penjana daripada kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan telah membantu industri ini untuk terus bertahan tetapi hanya untuk beberapa bulan akan datang,” katanya.

Nordin merujuk kepada bantuan sehingga RM1 juta yang dikhaskan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan dengan Covid-19, program subsidi upah (PSU) bagi membantu majikan mengekalkan pekerja mereka dan rebat khas untuk bil utiliti. – 15 Julai, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen