NAIB Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan jentera pilihan raya Umno bersiap sedia menghadapi perkara luar jangkaan dalam pilihan raya umum akan datang untuk membolehkan parti itu terus kekal berkuasa.
Ahmad Zahid berkata Umno perlu mengambil iktibar daripada dua pilihan raya lalu yang menyaksikan BN kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan undi popular kepada pembangkang.
Menyorot semula kedua-dua situasi tersebut, Ahmad Zahid berkata BN terperangkap apabila pembangkang menggunakan “senjata rahsia” pada saat-saat akhir kempen pilihan raya.
Jelasnya, senjata rahsia itu adalah dakwaan bahawa kerajaan menipu dalam pilihan raya dengan pelbagai cara.
“Pihak pembangkang menggunakana trump card (senjata rahsia) untuk rosakkan kita. Tiada yang menjawab tuduhan mereka. Kita terkapai-kapai. Macamana nak jawab (perkara) yang kita tak sangka dan jangka sebab tak ada preemptive measure (tindakbalas yang dijangka),” katanya.
Zahid berkata dakwaan tersebut telah menjejaskan prestasi BN.
“Cukup cukuplah. Kita perlu ambil iktibar. (Ahli Umno) mesti berubah dan bersedia jika tidak mahu menjadi nota kaki dalam buku sejarah Malaysia,” kata Zahid dalam dewan yang dipenuhi ketua penerangan bahagian Umno.
Para pemimpin bahagian tersebut menghadiri “Konvensyen Penerangan dan Media” menjelang Perhimpunan Agung Umno yang bermula malam ini.
Zahid juga menggesa para pemimpin berkenaan untuk memanfaatkan teknologi terkini dan media sosial untuk menyebarkan maklumat kepada kumpulan sasaran.
“Kita masih boleh bersemuka dengan ahli-ahli kita tetapi kita juga harus menggunakan media sosial.
“Masih ingat pada 14 Oktober mereka (pembangkang) mahu mengumpul orang-orang untuk berhimpun? Tetapi bukannya 200,000 hanya terdapat kira-kira 8,000 orang. Jangan tertipu. Sistem komunikasi sudah berubah.
“Liputan langsung tidak memerlukan jumlah kehadiran yang besar tetapi mereka yang menyaksikannya mungkin berjuta-juta. Isu-isu yang disebut menjadi tular,” kata Zahid.
Turut hadir pada konvensyen tersebut ialah Ketua Penerangan Umno, Annuar Musa dan Naib Presiden parti Hishamuddin Hussein. – 5 Disember, 2017.
Komen