3 individu ditahan buat tuntutan palsu Perkeso


Tiga individu termasuk dua beranak ditahan SPRM kerana disyaki melakukan pemalsuan dokumen bagi mendapatkan pampasan bernilai lebih RM540,000 daripada Perkeso. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Julai, 2020.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk dua beranak disyaki melakukan pemalsuan dokumen bagi mendapatkan pampasan bernilai lebih RM540,000 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menurut sumber, pasangan anak beranak berumur 59 dan 36 tahun itu bersama seorang lagi wanita berumur 50 tahun ditahan selepas hadir memberi keterangan di SPRM Putrajaya pada 2.45 petang tadi.

“Ketiga-tiga suspek dipercayai mendalangi sindiket membuat tuntutan palsu menggunakan laporan perubatan Orang Berinsurans (OB) dalam kalangan pencarum Perkeso yang membuat permohonan tuntutan hilang upaya sementara atau kekal dan pencen ilat,” kata sumber itu kepada Bernama.

Sumber berkata, ketiga-tiga mereka dipercayai melakukan kegiatan itu dari 2009 hingga 2017.

Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan manakala kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Menurut beliau, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi mendapatkan perintah reman. – Bernama, 13 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen