MAMPUKAH Perikatan Nasional, tanya Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki selepas kerajaan hanya meraih kemenangan tipis dalam pengundian usul menggantikan speaker Dewan Rakyat.
Menerusi Twitternya, bekas senator itu mempersoalkan kemampuan PN bertahan apabila ketika ini hanya mampu menang tipis dalam Dewan Rakyat.
“Usul tukar speaker lulus dengan majoriti tipis. Mampukah kerajaan PN ini bertahan,” tulisnya.
Awal hari ini, usul cadangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menukar speaker hanya meraih sokongan 111 ahli Parlimen berbanding 109 yang tidak setuju, dengan seorang tidak mengundi dan seorang lagi tidak hadir.
Semalam, Asyraf mendakwa usul tukar speaker adalah ujian pertama untuk PN dan Muhyiddin wajar membubarkan Parlimen sekiranya tidak mendapat sokongan.
“Jika gagal, bermakna kerajaan PN sudah tidak lagi memiliki legitimasi dan majoriti untuk meneruskan hayat pentadbiran yang ada.
“Maka kerajaan tiada pilihan lain melainkan mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen,” tulisnya di Facebook.
Usul tukar speaker Parlimen hari ini dikecam hebat pelbagai pihak kerana bekas hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Ariff Md Yusof dilihat menjalankan tugas dengan baik.
Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Azizan Harun kini dilantik sebagai speaker tanpa melalui pengundian yang menaikkan lagi kemarahan pembangkang. – 13 Julai, 2020.
Komen