Azhar Harun halau pembangkang sebaik angkat sumpah jawatan speaker


Mohd Farhan Darwis

Azhar Azizan Harun mengangkat sumpah jawatan Speaker Dewan Rakyat selepas diundang oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin selepas sidang Dewan Rakyat bersambung semula petang ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Julai, 2020.

Azhar Azizan Harun mengangkat sumpah jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat petang ini dengan disambut tentangan keras pembangkang.

Tentangan dan perang mulut itu berterusan disebabkan pembangkang menjangka pelantikan Azhar akan diputuskan melalui undi terlebih dahulu.

Azhar mengangkat sumpah jawatan selepas diundang untuk berbuat demikian oleh Perdana Menteri  Muhyiddin Yassin selepas sidang Dewan Rakyat bersambung semula petang ini.

Beliau seterusnya yang mengambil tempat di kerusi speaker dalam suasana kecoh itu dan kemudian bertindak menyingkirkan seorang ahli pembangkang, Khalid Samad dari persidangan.

Khalid diarahkan keluar oleh Azhar sehingga tamat sesi persidangan Dewan Rakyat hari ini.

“Sila keluar Dewan… Saya hukum hingga habis persidangan Dewan hari ini.

“Sila keluar, siapa lagi nak keluar,” kata Azhar ketika menyampaikan ucapannya sebaik mempengerusikan mesyuarat apabila persidangan bersambung semula. 

Azhar seterusnya mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat.

Usul berkenaan dicadangkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan disokong Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali.

Terdahulu, Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming mengumumkan perletakan jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat sebagai tanda solidariti dengan Mohamad Ariff Md Yusoff.

Mohamad Ariff digugurkan dari jawatan speaker dengan sokongan 111 ahli Parlimen yang bersetuju untuk kerusi itu dikosongkan, berbanding 109 orang yang menentang.

Usul untuk menggugurkan Mohamaf Ariff dari jawatan itu juga dicadangkan perdana menteri. – 13 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen