Nga Kor Ming letak jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat


Mohd Farhan Darwis

Keputusan dibuat sebagai tanda setiakawan dengan Mohamad Ariff Md Yusoff yang digugurkan dari jawatan speaker Dewan Rakyat hari ini, Nga Kor Ming. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Julai, 2020.

AHLI Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming mengumumkan peletakan jawatannya sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat serta merta hari ini.

Nga berkata, keputusan itu dibuat sebagai tanda setiakawan dengan Mohamad Ariff Md Yusoff yang digugurkan dari jawatan speaker Dewan Rakyat hari ini.

“Pagi ini kita menyaksikan speaker yang berwibawa dilucutkan tanpa sebarang sebab. Sebagai solidariti penuh bersama Ariff, dan nyatakan prinsipnya, saya hanya berkhidmat kepada kerajaan yang dipilih rakyat.

“Saya umumkan saya letak jawatan sebagai timbalan yang dipertua Dewan Rakyat secara serta-merta hari ini,” kata Nga.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Parlimen hari ini.

Kerusi speaker Dewan Rakyat dikosongkan selepas usul daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin itu menerima sokongan 111 ahli Parlimen.

Keputusan itu diperolehi melalui undian belah bahagi yang dipengerusikan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Rashid Hasnon.

Seramai 109 ahli Parlimen menentang usul berkenaan dan seorang anggota, Maximus Ongkili (PBS – Kota Marudu) tidak hadir sesi persidangan hari ini.

Kertas Aturan Mesyuarat hari ini menyatakan, kerajaan akan menamakan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Azizan Harun sebagai Yang DiPertua baharu.

Perikatan juga dijangka mengantikan Nga dengan bekas menteri Umno Azalina Othman Said (Pengerang-BN).

Usul berkenaan juga dinyatakan dalam Kertas Aturan Mesyuarat hari ini. – 13 Julai, 2020.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen