MALAYSIA sedang mempertimbangkan pelbagai pilihan termasuk persidangan video penuh untuk Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) 2020 pada November depan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali.
Beliau memberitahu Dewan Rakyat, satu lagi kemungkinan adalah dengan membenarkan delegasi dari negara yang selamat daripada Covid-19 untuk hadir, manakala yang lain boleh berbuat demikian menerusi telesidang.
“Kita sedang melihat beberapa pilihan. Ia mungkin persidangan maya penuh namun terdapat lapan zon masa.
“Atau kita boleh hoskan dalam bentuk hibrid, mereka dalam zon hijau boleh hadir dan mereka yang tidak boleh hadir boleh berbuat demikian secara maya,” kata Azmin pada sesi soal jawab hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ignatius Darell Leiking (Penampang-Warisan) yang bertanya mengenai status terkini persidangan Apec 2020, yang mana Malaysia menjadi tuan rumah, ketika dunia dilanda pandemik Covid-19.
Azmin berkata, pandemik itu memberi kesan kepada perancangan sidang kemuncak itu namun Malaysia meneruskan program pra-jadual Apec sejak beberapa bulan ketika perintah kawalan pergerakan dengan mengadakan mesyuarat secara maya. – 13 Julai, 2020.
Komen