TUAN rumah boleh menyewakan kediaman mereka kepada pelarian yang mempunyai dokumen pengenalan diri sah di negara ini, kata pakar undang-undang majlis tempatan.
Peguam Derek Fernandez berkata pihak berkuasa tidak boleh menghukum sesiapa yang menyewakan hartanah mereka kepada pelarian pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR).
“Jika pelarian diiktiraf PBB dan Malaysia ada perjanjian dengan PBB dalam hubungan pelarian, maka sangat sukar untuk bertindak kepada mereka yang menyewakan hartanah mereka kepada pelarian.
“Jika seseorang dibenarkan kerajaan untuk masuk ke dalam negara ini walaupun sebagai pelarian dan jika tiada sekatan dikenakan berkaitan tempat tinggal pelarian perlu tinggal sementara menunggu penempatan semula, maka salah untuk menghukum tuan rumah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Awal hari ini, kumpulan hak Tenaganita mendesak Putrajaya lebih berperikemanusiaan terhadap pelarian dan pendatang tanpa izin kerana pihak berkuasa didakwa bertindak ke atas tuan rumah.
Mereka berkata, sekurang-kurangnya 700 orang Rohingya kehilangan tempat tinggal mereka di Kuala Lumpur minggu ini selepas DBKL mengeluarkan notis mengharamkan pendatang asing tanpa izin menyewa di bandar ini. – 12 Julai, 2020.
Komen