Pembangkang akan tolak usul singkir speaker dan timbalan, kata Anwar


Alfian Z.M. Tahir

Kami sepakat tolak usul ganti speaker dan timbalan speaker, kata Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Julai, 2020.

PAKATAN Harapan bersama sekutunya, Warisan dan kumpulan Dr Mahathir Mohamad dari Bersatu akan mempertahankan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Yusof dan Timbalannya Nga Kor Ming, kata Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga ketua pembangkang itu memberitahu wartawan selepas mesyuarat bersama ahli Parlimen PH, hari ini, yang semua wakil rakyat pembangkang akan menolak usul menyingkirkan Ariff dan Nga.

“Kami sepakat dalam isu ini. Kami akan bersama-sama menolak usul itu esok. Konsensusnya juga dipersetujui Warisan dan ahli Bersatu yang menyokong Dr Mahathir Mohamad,” katanya menjawab soalan mengenai agenda mesyuarat.

“Saya harap semua orang akan tolak usul itu. Setakat ini prestasi Ariff dan Nga bagus sekali dan konsisten dengan idea pembaharuan. Tidak ada asas untuk mengubah speaker,” tambahnya.

PH dalam kenyataan sebelum ini turut mendesak supaya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak menggantikan Ariff.

“Daripada pembentukan jawatankuasa pemilih hinggalah penubuhan Kumpulan Parlimen Semua Parti, Ariff menunjukkan khidmat cemerlang dalam memperbaharui Parlimen, kata PH dalam satu kenyataan hari ini.

“Oleh itu, ahli Parlimen PH memberikan sokongan penuh kepada Ariff dan Timbalan Speaker Nga Kor Ming untuk dikekalkan dan kami bantah usaha untuk menggantikan mereka,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Dr Hatta Ramli (Amanah) dan Anthony Loke (DAP).

Muhyddin minggu lepas mencadangkan usul untuk menggantikan Ariff dan Nga.

Ia berlaku selepas Ariff menerima usul tidak percaya kepada Muhyiddin dibuat Dr Mahathir pada 18 Mei.

Selain itu, Putrajaya juga menggantikan Setiausaha Dewan Rakyat Riduan Rahmat yang baharu menjawat jawatan itu pada 22 Februari lalu daripada Roosme Hamzah.

Ariff bersara daripada politik selepas pilihan raya 2018 dan menjadi individu penting mengembalikan keyakinan awam terhadap demokrasi berparlimen, kat pembangkang lagi.

Menyentuh hubungannya dengan Dr Mahathir, Anwar hari ini berkata beliau tidak ada masalah negarawan berusia 94 tahun itu tidak bersama PH selagi mana menyokong agenda pembaharuan dibawa pembangkang.

“Saya tak ada masalah dengan Tun (Dr Mahathir). Saya lihat (perbezaan kami) menerusi agenda dasar dan pembaharuan. Selagi mana idea pembaharuan boleh diterima kita boleh teruskan,” kata Anwar.

Sementara itu, Barisan Nasional juga bermesyuarat pagi tadi untuk membincangkan persediaan sidang Dewan Rakyat esok.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman dipetik Malaysiakini sebagai berkata yang semua ahli Parlimen BN dinasihatkan hadir sidang dan memberikan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional.

“Kami hanya (berbincang) tentang Dewan Rakyat esok, yang kita perlu bersatu dan semua ahli Parlimen perlu hadir untuk menyokong kerajaan PN,” katanya.

Beliau turut meluahkan harapan supaya speaker dan timbalan speaker berubah esok.

Mesyuarat diadakan di Menara Umno, Kuala Lumpur itu turut dihadiri Najib Razak, Azalina Othman Raid, Shahidan Kassim dan Halimah Sadique.

Naib Presiden Umno Hishammuddin Hussein pula berkata pemimpin BN juga membincangkan isu pendaftaran PN secara rasmi. – 12 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen