Malaysia catat 14 kes baharu Covid-19


Berdasarkan kes baharu hari ini, tiga kes merupakan kes import manakala 11 lagi merupakan kes penularan tempatan dengan lapan kes membabitkan warga asing dan tiga kes melibatkan warganegara. – Infografik The Malaysian Insight, 12 Julai, 2020.

MALAYSIA mencatatkan peningkatan dalam kes baharu Covid-19 apabila 14 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Jumlah pesakit yang pulih pula adalah empat orang.

Jumlah keseluruhan kes kini sebanyak 8,718 manakala kes pulih terkumpul berjumlah 8,519.

Tiada kematian baharu dicatatkan hari ini, sekali gus mengekalkan angka korban sebanyak 122.

Berdasarkan kes baharu hari ini, tiga kes merupakan kes import manakala 11 lagi merupakan kes penularan tempatan dengan lapan kes membabitkan warga asing dan tiga kes melibatkan warganegara.

Sebanyak 77 kes masih aktif dengan tiga pesakit masih ditempatkan di unit rawatan rapi dengan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata satu kluster baharu dikesan di Sarawak apabila sebuah syarikat kejuruteraan di Kuching mengesan sepasang lelaki dan wanita positif Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata dua kes baharu itu melibatkan satu kes saringan bergejala di sebuah pusat perubatan di Kuching manakala satu lagi merupakan kontak rapat kes ke-8,694 iaitu sebahagian daripada kluster baharu itu.

Katanya susulan itu, aktiviti saringan kontak rapat telah dijalankan melibatkan 32 individu yang rapat dengan mereka.

“Mereka terdiri daripada 16 rakan sekerja dan 16 ahli keluarga.

“16 kes disahkan negatif dan 15 lagi masih menunggu keputusan manakala hanya satu disahkan positif.”

Dr Noor Hisham berkata punca jangkitan terhadap kluster baharu itu belum dikenalpasti tetapi pihak pengurusan syarikat itu telah menjalankan kerja-kerja pembersihan dan nyahkuman. – 12 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen