Polis buka 266 kertas siasatan berita palsu Covid-19


172 kertas siasatan berkaitan berita palsu Covid-19 masih dalam siasatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Julai, 2020.

266 kertas siasatan dibuka berkaitan berita palsu wabak Covid-19 dengan 172 daripadanya masih dalam siasatan, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri dalam kenyataan hari ini berkata daripada jumlah itu juga, 30 sudah didakwa di mahkamah, 12 diberikan amaran, 13 dalam proses perbicaraan dan 17 individu sudah mengaku bersalah.

“Pihak PDRM dan SKMM akan terus membuat pemantauan ketat terhadap penyebaran berita palsu. Kerajaan memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap penyebaran berita palsu,” katanya.

Tambahnya lagi, Pasukan Respon Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia sudah menafikan 351 berita palsu.

“Sebanyak 351 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu telah diperjelaskan kepada orang ramai oleh Pasukan Respon Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19.

“Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya,” katanya lagi.

Menyentuh isu penahanan, Ismail Sabri berkata polis menahan 29 orang semalam dengan lapan direman dan bakinya dilepaskan selepas dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar PKP termasuk aktiviti dalam pub/kelab malam (3 individu), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (13 individu) serta aktiviti yang melanggar SOP (13 individu).”

Malaysia masih dalam fasa perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang dijangka tamat pada akhir Julai.

Di bawah PKPP, hampir semua sektor perniagaan dan aktiviti sukan dibenarkan beroperasi semula.

Aktiviti keagamaan juga dibenarkan diadakan termasuklah majlis perkahwinan dan acara luar lain. – 12 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen