Ahli politik perlu tumpu kesejahteraan rakyat, kata pergerakan belia


Alfian Z.M. Tahir

Setiausaha Agung Challenger Jean Vaneisha berkata belia tidak mahu melihat perebutan kuasa antara individu apabila banyak yang dipertaruhkan di negara ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Zainal Halim, 12 Julai, 2020.   

GOLONGAN belia hari ini mahu melihat ahli politik menumpukan perhatian kepada kesejahteraan rakyat dan bukannya bertengkar dengan siapa yang akan memegang tampuk kekuasaan, kata pergerakan belia Challenger.

Challenger merupakan salah satu daripada tiga organisasi politik yang menganjurkan Parlimen Digital baru-baru ini.

“Apa yang kita lihat sekarang adalah perebutan kuasa antara individu. Ia tidak bagus untuk negara terutama kepada belia,” kata Setiausaha Agung Challenger Jean Vaneisha. 

“Di mana rakyat? Di mana tumpuan kepada rakyat?

“Apa dasar kerajaan tentang bagaimana membaiki ekonomi kita atau sistem kesihatan kita.

“Di sisi lain pembangkang seharusnya sudah ada kabinet bayangan,” katanya.

Kerajaan Perikatan Nasional yang menggulingkan Pakatan Harapan pada akhir Februari telah menyaksikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berusaha untuk mendapatkan majoriti tipis di Parlimen dengan menawarkan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan kepada ahli Parlimen sekutu dalam Barisan Nasional dan PAS.

Challenger yang ditubuhkan pada 2015 dan menggambarkan mereka sebagai “kumpulan pelobi belia yang menyokong periksa dan imbang, kedaulatan undang-undang, kebebasan bersuara dan isu-isu berkaitan belia” baru-baru ini mengeluarkan kenyataan yang mendesak pemimpin poltik untuk menekan “butang reset”.

“Rakyat Malaysia menyaksikan pencemaran buruk institusi demokratik oleh Perikatan Nasional untuk merebut kuasa.

“Pemimpin kita terus mengeluarkan undang-undang tanpa perbahasan Parlimen, membebaskan individu berprofil tinggi yang dituduh melakukan rasuah tanpa perbicaraan (dan) memecat pemimpin yang berkelayakan dari GLC,” menurut kenyataan Challenger yang merujuk kepada peristiwa baru-baru ini.

Ini termasuk sesi pertama Parlimen tahun ini pada 18 Mei di bawah pemerintahan Muhyiddin yang hanya diadakan selama dua jam untuk mendengar Titah Diraja yang mendapat kritikan.

Sejak Perikatan Nasional menguasi, pendakwa telah menjatuhkan kes rasuah terhadap individu berprofil tinggi seperti anak tiri Najib Razak, Riza Aziz dan bekas ketua menteri Sabah Musa Aman.

“Bahkan di dalam Pakatan Harapan (ada) perselisihan kuasa yang tidak habis-habis dan memenatkan berkenaan calon perdana menteri. Semua masalah ini adalah masalah sistemik dan politik lama,” menurut kenyataan Challenger.

Vaneisha berkata kumpulan itu dibentuk tiga tahun sebelum pilihan raya umum ke-14 diadakan pada 2018.

Bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga bekas ketua Pemuda Bersatu yang dipecat dari parti kerana menyokong Dr Mahathir Mohamad berperanan dalam pembentukan Challenger. – 12 Julai, 2020.   

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen