KUMPULAN 14 doktor di Perancis semalam meminta peraturan lebih ketat mengenai pemakaian topeng muka bagi memastikan tidak ada lagi jangkitan coronavirus.
Dalam surat terbuka yang diterbitkan di surat akhbar harian Le Parisien-Aujourd’hui doktor daripada pelbagai disiplin ilmu berkata orang ramai mulai mengabaikan langkah-langkah asas pencegahan sosial.
“Rugi jika kaedah yang berkesan dan mudah diakses ini tidak digunakan,” katanya.
Mereka mencadangkan untuk mewajibkan pemakaian topeng muka di dalam bangunan awam, penjarakan sosial sebanyak mungkin dan mencuci tangan secara berkala.
Sambil mengakui bahawa topeng mungkin tidak selesa dipakai mereka tetap menekankan kepentingannya.
“Memakai topeng bukan hanya untuk melindungi diri sendiri tetapi juga untuk mencegah penyebaran virus; selagi semua orang memakainya!,” tulis mereka.
Mereka meminta orang ramai untuk terus berwaspada dan memakai topeng muka bagi mengelak berlakunya gelombang kedua Covid-19.
Pihak berkuasa kesihatan Perancis pada Jumaat berkata tahap jangkitan mulai meningkat buat masa ini walaupun jumlahnya tetap rendah. – AFP, 12 Julai, 2020.
Komen