Lebih 560,000 maut akibat Covid-19 di seluruh dunia 


Seorang petugas memeriksa suhu badan seorang wanita yang hadir pada konsert pertama Orkestra Simfonik Kaherah. Ia merupakan konsert pertama diadakan sejak perintah berkurung berikutan pandemik Covid-19.– Gambar EPA, 12 Julai, 2020.

WABAK Covid-19 meragut sekurang-kurangnya 561,551 nyawa sejak ia mula muncul di China pada Disember tahun lalu, menurut angka rasmi.

Sekurang-kurangnya 12,580,980 kes baharu didaftarkan di 198 negara dan wilayah. Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 6,706,700 dianggap pulih.

Angka berkenaan yang dikumpul AFP daripada pihak berkuasa negara dan maklumat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mungkin hanya pecahan daripada jumlah sebenar kes jangkitan.

Kebanyakan negara hanya menjalankan ujian terhadap kes bergejala atau yang paling serius.

Sejak Jumaat, 5,318 kes kematian baharu dan 217,531 kes jangkitan baharu dikesan di seluruh dunia. Negara paling banyak merekodkan kematian adalah Brazil dengan 1,214 kematian baharu, diikuti Amerika Syarikat dengan 888 dan Mexico 665.

Amerika Syarikat merupakan negara paling teruk dilanda wabak dengan 134,430 kematian daripada 3,215,861 kes. Sekurang-kurangnya 983,185 orang diisytiharkan sembuh.

Selepas AS, negara paling teruk terjejas adalah Brazil dengan 70,398 kematian daripada 1,800,827 kes, United Kingdom dengan 44,798 kematian daripada 288,953 kes, Itali dengan 34,945 kematian daripada 242,827 kes, dan Mexico dengan 34,191 kematian daripada 289,174 kes.

Negara yang mencatatkan kadar kematian tertinggi adalah Belgium dengan 84 kematian per 100,000 penduduk, diikuti United Kingdom dengan 66, Sepanyol 61, Itali 58, dan Sweden 55.

China—tidak termasuk Hong Kong dan Macau—setakat ini mengumumkan 83,587 kes (2 kes baharu sejak Jumaat), termasuk 4,634 kematian dan 78,623 kes pulih.

Eropah secara keseluruhannya mencatatkan 202,231 kematian daripada 2,819,148 kes, Amerika Syarikat dan Kanada 143,239 kematian daripada 3,323,207 kes, Amerika Latin dan Caribbean 141,015 kematian daripada 3,262,842 kes, Asia 42,161 kematian daripada 1,697,054 kes, Timur Tengah 19,993 kematian daripada 905,810 kes, Afrika 12,776 kematian daripada 561,797 kes, dan Oceania 136 kematian daripada 11,126 kes. – AFP, 12 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen