IRAN tidak boleh menutup ekonominya walaupun penularan wabak Covid-19 semakin teruk dengan kes baharu dan kematian yang semakin meningkat.
Presidennya, Hassan Rouhani berkata Iran perlu meneruskan aktiviti ekonomi, sosial dan kebudayaan dengan pemantauan kesihatan yang rapi.
“Cara mudah adalah menutup semua aktiviti tetapi ia boleh menyebabkan berlakunya tunjuk perasaan, huru-hara, kelaparan dan tekanan,” katanya.
Teheran bergelut menangani wabak Covid-19 sejak Februari dan menjadi negara paling teruk terjejas di Asia Barat.
Jurucakap kementerian kesihatan Sima Sadat Lari berkata sebanyak 188 kematiah baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan keseluruhan korban 12,635.
Kes baharu kini berjumlah 255,117 selepas 2,397 kes jangkitan direkodkan dalam tempoh sama.
Pada Mac, Iran menutup sekolah, membatalkan aktiviti awam di kesemua 31 wilayahnya tetapi menarik semula larangan pada April.
Iran mengalami masalah ekonomi selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menarik diri dari perjanjian nuklear pada 2018 dan mengenakan semula sekatan terhadap Teheran.
AS mengenakan sekatan terhadap sektor perbankan dan jualan minyak selain beberapa sektor lain.
Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan ekonomi Iran akan mengucup sehingga 6% pada tahun ini. – AFP, 11 Julai, 2020.
Komen