DAP tidak boleh miliki pendukung 'Cina sahaja', kata pemimpin kanan


Liew berkata kerusi persekutuan yang ditandingi DAP di Johor sewaktu pilihan raya lalu adalah kerusi campuran. – Gambar Facebook Liew Chin Tong, 5 Julai, 2020.

MEREKA yang mahu DAP hanya menjaga “akar umbi Cina sahaja” adalah idea tidak masuk akal atau mempunyai niat buruk, kata Ketua DAP Johor, Liew Chin Tong.

“Tidak ada kerusi yang dikatakan ‘kerusi Cina’ sahaja. Semua kerusi yang kami bertanding adalah kerusi yang memiliki kepelbagaian etnik.

“Semua kerusi Parlimen yang ditandingi DAP di Johor terdiri daripada pelbagai etnik bermula 2018,” kata Liew, yang juga pengarah pendidikan politik parti itu dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Sebagai contoh, Liew berkata kerusi persekutuan yang ditandingi DAP di Johor sewaktu pilihan raya lalu adalah kerusi campuran.

“Tidak ada kerusi yang mempunyai lebih dari 55% pengundi Cina sedangkan semua kerusi ini memiliki 35% dan lebih tinggi dari pengundi Melayu, dengan beberapa kerusi mempunyai jumlah pengundi India yang sangat besar.

“DAP mesti melakukan apa sahaja untuk melindungi rakyat daripada mereka yang mencetuskan perpecahan antara kaum.

“Matlamat DAP adalah untuk melayani semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang etnik dan agama mereka,” kata Liew.

Kenyataan beliau itu adalah sempena acara taklimat yang dihadiri oleh ahli DAP Muar dan Bakri di Johor hari ini.

Antara yang hadir ialah Timbalan Ketua DAP Johor Teo Nie Ching, Ketua Publisiti Shiekh Omar Ali dan bekas Adun Lim Eng Guan.

Menurut Liew, kerusi Bakri memiliki populasi 53% Cina, 44% Melayu dengan 2% India sementara Labis mempunyai 45% pengundi Cina, 38% daripada Melayu dan 15% India.

Kerusi Kluang pula katanya, mempunyai 47% pengundi Cina, 42% Melayu dan 10% India sementara Kulai mempunyai 54% pengundi Cina, 35% Melayu dan 10% India. Di Iskandar Puteri, pengundi di sana terdiri dari 50% Cina, 37% Melayu dan 12% India sementara Ayer Hitam mempunyai pengundi Cina sebanyak 38%, 58% Melayu dan 4% India.

DAP bagaimanapun memenangi semua kerusi itu pada Pilihan Raya Umum 2018 kecuali di Ayer Hitam. 

Liew juga menggesa ahli DAP Bakri dan Muar untuk menyokong pemimpin Bersatu yang dipecat, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sekiranya pilihan raya dilaksanakan.

Bekas menteri belia dan sukan itu adalah Ahli Parlimen Muar selepas menang pada PRU14.

“Kita juga mesti melakukan segala yang mampu untuk memastikan bahawa sekutu terdekat kita Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kembali sebagai ahli Parlimen Muar di samping berusaha untuk mengalahkan Muhyiddin Yassin di Pagoh, seberapa dilihat sukar ketika ini,” kata Liew, merujuk kawasan yang diwakili Muhyiddin di Johor. – 11 Julai, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen