MALAYSIA mencatatkan satu korban baharu akibat Covid-19 selepas 26 hari tidak merekodkan kematian.
Korban terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat virus itu meningkat kepada 122 orang.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata korban terbaharu itu melibatkan seorang lelaki berusia 72 tahun di Hospital Umum Sarawak.
Mangsa meninggal dunia pukul 5.49 petang semalam.
“Mangsa mempunyai penyakit darah tinggi dan diabetes, dan mendapatkan rawatan secara tradisional beberapa kali sejak 3 Julai sebelum masuk ke hospital swasta pada 9 Julai.
“Dia kemudiannya dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak dan disyaki positif Covid-19 sebelum disahkan dijangkiti virus itu.
“Keadaan kesihatannya terus merosot dan dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Mangsa disahkan meninggal dunia pada 10 Julai pukul 5.49 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kali terakhir Malaysia mencatatkan kematian akibat Covid-19 pada 14 Jun.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata lapan kes baharu turut direkodkan dalam tempoh 24 jam dan empat pesakit pulih sepenuhnya.
Kes positif kini meningkat kepada 8,704 manakala kes pulih berjumlah 8,515 atau 97.8%.
Daripada lapan kes baharu, empat merupakan kes import melibatkan rakyat Malaysia manakala dua kes penularan tempatan dan dua warga asing.
Dua kes penularan tempatan masing-masing melibatkan seorang penduduk Sabah dan Sarawak manakala dua kes warga asing membabitkan tahanan di pusat tahanan imigresen di Sepang.
Jumlah kes aktif kini sebanyak 67 dengan tiga pesakit ditempatkan di ICU dan dua daripadanya memerlukan bantuan sokongan pernafasan. – 11 Julai, 2020.

Komen