CALIFORNIA akan membebaskan sekurang-kurangnya 8,000 tahanan lagi bagi membendung penularan Covid-19 di penjara yang kini sesak.
Menurut pihak berkuasa AS, penjara merupakan salah satu lokasi yang paling teruk terkesan akibat wabak itu.
Para tahanan yang layak dibebaskan mungkin bebas lebih awal pada akhir Ogos - bergabung dengan 10,000 tahanan yang dibebaskan dalam inisiatif serupa sejak krisis Covid-19, kata Jabatan Pemulihan dan Rehabilitasi California.
“Tindakan ini diambil untuk menjaga kesihatan dan keselamatan banduan dan staf yang bekerja di penjara,” kata setiausaha jabatan itu Ralph Diaz dalam satu kenyataan pada hari Jumaat.
Pengumuman itu, yang disambut baik penyokong reformasi penjara, susulan lonjakan kes Covid-19 di salah sebuah penjara tertua di California, San Quentin.
Gabenor Negeri Gavin Newsom pada hari Selasa berkata wabak yang tular di “lokasi itu akan menjadi titik fokus wabak” setelah lebih dari 1,000 tahanan diuji positif Covid-19.
Penjara San Quentin minggu ini menjadi sebahagian dari kawasan aktif kes Covid-19 di seluruh negeri itu. California memiliki banduan sekitar 113,000 orang di penjara-penjaranya seluruh negeri itu.
Kenyataan hari Jumaat berkata bahawa tahanan yang akan dibebaskan, termasuk tahanan dari San Quentin, akan disaring Covid-19 dalam masa seminggu sebelum dibebaskan.
California, negeri AS yang paling ramai penduduk dengan populasi sekitar 40 juta orang mengesahkan bahawa lebih dari 300,000 kes Covid-19 dan lebih dari 6,800 kematian akibat penyakit ini. – AFP, 11 Julai, 2020.
Komen