Emirates bakal buang 9,000 lagi pekerja


Sebelum krisis kesihatan berlaku, Emirates mempunyai kira-kira 60,000 staf, termasuk 4,300 juruterbang dan hampir 22,000 krew kabin. – Gambar EPA, 11 Julai, 2020.

SYARIKAT penerbangan Emirates dijangka membuang 9,000 lagi pekerja susulan kesan wabak Covid-19.

Syarikat penerbangan terbesar di Asia Barat itu yang mempunyai 270 buah pesawat, terpaksa menghentikan operasi hujung Mac selepas dunia dilanda pandemik koronavirus.

Emirates menyambung semula operasinya dua minggu kemudian dengan penerbangan terhad dan merancang melakukan penerbangan ke 58 buah negara menjelang pertengahan Ogos berbanding 157 negara sebelum krisis.

Bagaimanapun presidenya Tim Clark sebelum ini berkata syarikat itu mungkin mengambil masa sehingga empat tahun sebelum operasinya kembali pulih seperti biasa.

Beliau berkata syarikatnya terpaksa membuang pekerja secara berperingkat bagi menampung kos operasi.

Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan jumlah pekerja yang sudah diberhentikan setakat ini.

Sebelum krisis kesihatan berlaku, Emirates mempunyai kira-kira 60,000 staf, termasuk 4,300 juruterbang dan hampir 22,000 krew kabin.

Clark dalam satu wawancara bersama BBC berkata syarikat itu sudah membuang 10% tenaga kerjanya dan mungkin memberhentikan kira-kira 15% lagi stafnya.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) berkata Emirates dijangka mengalami kerugian lebih AS$84 bilion tahun ini akibat Covid-19. – AFP, 11 Julai, 2020.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen