ISU pembahagian kerusi di antara parti-parti gabungan Perikatan Nasional adalah satu perkara yang harus dilaksanakan secara adil, kata Annuar Musa.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata perkara tersebut adalah isu dalaman gabungan itu yang terdiri daripada Umno, PAS, Bersatu Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak.
“Kami akan membincangkan secara tertutup (berhubung pembahagian kerusi). Parlimen juga belum dibubarkan. Ini semua adalah masalah dalaman.
“Kami akan terus bincangkan macam adik beradik. Fokus kami (sekarang) adalah membantu orang ramai,” katanya kepada pemberita hari ini di Jalan Alor, Kuala Lumpur hari ini.
Ulasan Annuar Musa itu tampil sebelum Menteri Pembangunan Luar Bandar Dr Abd Latiff Ahmad Latiff dilaporkan berkata bahawa Umno Sabah tidak lagi relevan.
Beliau bagaimanapun memohon maaf dan berkata bahawa kenyataannya disalah tafsir pihak-pihak tertentu.
Annuar juga berkata bahawa Barisan Nasional akan mempertahankan semua kerusi yang mereka menangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) atau pada pilihan raya kecil.
“BN berhasrat untuk kekalkan semua kerusi tradisi yang dimenangi sama ada (pada) PRU14 atau ketika pilihan raya kecil,” katanya. – 11 Julai, 2020.
Komen