Ganti speaker adalah pertaruhan hayat politik Muhyiddin, kata Amanah


Chan Kok Leong

Khalid berkata bahawa Dr Mahathir Mohamad dan ahli Parlimen Bersatu yang dipecat parti itu serta Warisan akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan sebagai pakatan pembangkang di Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Julai, 2020.

ISNIN ini adalah sesi pertaruhan hayat politik Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata Khalid Samad.

“Sekiranya beliau berjaya gantikan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusoff, itu bermakna dia memiliki sokongan yang cukup.

“Tetapi jika tidak, Mohd Ariff boleh membenarkan usul tidak percaya terhadapnya,” kata ahli Parlimen Shah Alam itu hari ini.

Khalid berpendapat hal ini adalah antara sebab mengapa Muhyiddin mahu menggantikan Ariff dengan seseorang yang akan mengikut undang-undang kerajaan.

Bercakap di acara pertemuan pemimpin Amanah hari ini, Khalid berkata bahawa ini adalah kali pertama Speaker Parlimen diganti setelah pertukaran kerajaan tanpa pilihan raya.

“Hal ini bersejarah kerana tidak ada Speaker yang pernah diganti dalam sistem Westminster di pertengahan penggal Parlimen.

“Alasan perdana menteri memberi bahawa ada calon yang lebih baik adalah lemah,” kata Khalid.

Pengarah komunikasi Amanah itu berkata bahawa rancangan Muhyiddin untuk mengganti Speaker Dewan Rakyat dengan alasan wujud calon lain yang lebih baik hanyalah muslihat untuk mengosongkan jawatan ketua Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Saya rasa ini hanya alasan bagi Perikatan untuk mengganti Speaker sebelumnya dengan seseorang yang lebih mesra mereka,” tambahnya.

Sementara itu, Khalid berkata bahawa Dr Mahathir Mohamad dan ahli Parlimen Bersatu yang dipecat parti itu serta Warisan akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan sebagai pakatan pembangkang di Parlimen.

“Kami akan susun bagaimana untuk tangani usul-usul lain lain dan undang-undang di Parlimen,” kata Khalid.

Dalam himpunan pertemuan pemimpin Amanah itu, Khalid berkata sudah sampai masa kerana parti perlu mempersiapkan para pemimpin dan jentera untuk menghadapi kemungkinan pilihan raya tergempar.

“Kami tidak dapat menjalankan pertemuan lebih kerap kerana pandemik Covid-19. Oleh itu, kami fikir ini adalah masa yang tepat untuk mendengar maklum balas dari pelbagai pemimpin dan mempersiapkan kemungkinan pilihan raya tergempar. ” – 11 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen