Najib digesa beri solusi lebih baik atasi pencemaran udara


Nabihah Hamid

PERDANA Menteri Najib Razak perlu memikirkan idea lebih baik bagi mengatasi pencemaran udara dan bukannya bertindak mengekalkan laluan tol serta enggan memberikan subsidi minyak, kata pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata presiden Umno itu seharusnya memberi kenyataan berlandaskan fakta dan bukannya memperlekehkan polisi PH “hapuskan tol dan subsidi minyak”.

“Saya tidak nampak kaitan pencemaran dengan tol. Najib selalu tersasar sehingga membuat kenyataan tidak logik. Kita perlu melangkah ke ‘Smart City Concept’.

“Bas awam yang efisien dan murah serta jalan raya yang teratur. Kaji keseluruhannya sistem pengangkutan awam seperti negara maju yang lain,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Najib sebelum ini berkata polisi pakatan bukan sahaja tidak menjelaskan bagaimana mahu membiayai penghapusan tol dan subsidi minyak malah perlaksanaannya akan menyebabkan penambahan kenderaan di atas jalan raya.

Najib mengaitkan situasi itu dengan fenomena perubahan iklim yang melanda dunia ketika ini.

“Bukan saja mereka tidak tahu bagaimana mahu membiayai polisi-polisi ini, ia turut bakal menyebabkan penambahan kenderaan di jalan raya, menambah kadar CO2 di udara dan jejak karbon yang sepatutkan kita kurangkan, bukan tambah jika kita mahu dunia ini selamat untuk kehidupan sejagat,” kata Najib.

Bagi Timbalan Presiden Amanah Salahudin Ayub, kenyataan Najib tidak masuk akal dan seperti kekeringan idea untuk menepis usaha PH membantu rakyat.

“Menarik subsidi kononnya akan membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar. Saya terkejut dengan kenyataan PM, saya ingat ketua kampung mana yang bercakap.

“PM sepatutnya fikirkan cara bagaimana menggalakkan penggunaan kereta teknologi hijau,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Bersetuju dengannya, Setiausaha Publisiti DAP Selangor Ng Suee Lim berkata kenyataan Najib jelas membukti beliau tidak mempedulikan isu rakyat.

“Ini satu kenyataan agak songsang. Rakyat dihimpit dengan kos sara hidup tinggi. Kerajaan BN yang mesra terhadap syarikat konsesi tol sentiasa beri pelepasan (naikkan tol) melanjutkan tempoh dan membiarkan harga naik dalam tiga tahun.

“Jangan beri alasan pasal alam sekitar. Untuk atasi pencemaran sepatutnya tambah peruntukan pada Perodua dan Proton untuk kaji industri teknologi hijau,” kata Adun Sekinchan itu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen menjelaskan polisi menghapuskan tol yang mahu dilaksanakan PH bergantung kepada dasar perjanjian dengan syarikat konsensi.

PH katanya akan cuba mencari jalan untuk mengurangkan beban rakyat dengan mengkaji semula terma-terma dalam perjanjian asal.

“Manifesto PH mengenai tol, ia berdasarkan perjanjian (dengan konsesi) dan terma yang sesuai. Terma yang tidak logik akan cuba diubah.

“Ini kerana sesetengah perjanjian tidak boleh diubah kerana ia berkaitan dengan isu bon. Najib seharusnya mengemukakan dokumen (konsesi) dan kita lihat dan selesaikan bersama,” kata Wong Chen.

Dalam Bajet 2018, kerajaan persekutan baru-baru ini mengumumkan pemansuhkan empat tol berbanding bajet alternatif PH yang mahu menghapuskan semua tol di dalam negara.

Mengenai subsidi pula, gabungan pembangkang itu mencadangkan peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi subsidi minyak. – 5 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen