DAP mesti berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan mengenai orang Melayu jika pembangkang mahu terus menangi hati masyarakat, kata Mustaffa Kamil Ayub.
Presiden gabungan Otai Reformis Mustaffa Kamil Ayub memberitahu media bahawa beliau berharap orang bukan Melayu dalam Pakatan Harapan lebih peka dengan orang Melayu.
“Kami desak DAP rakan kami dalam PH untuk lebih berhati-hati ketika membuat kenyataan agar orang Melayu, yang merupakan majoriti di negara ini tidak merasa terancam.
“Kita harus bersama-sama peka berhubung perkara ini. Janganlah kita permainkan sentimen perkauman atau agama. Hormati agama dan perlembagaan rasmi,” kata Mustaffa.
Mustaffa ditanya mengenai orang Melayu yang tidak menerima DAP dan menjadi titik kelemahan gabungan politik itu.
Mustaffa berkata bahawa Otai Reformis berdiri mendukung Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-9 negara.
Beliau menjelaskan bahawa Anwar adalah satu-satunya individu yang dapat memacu kemajuan negara ke hadapan.
“Kami optimis dan kami menyokongnya sebagai perdana menteri. Kami telah berjuang lebih dari 20 tahun sejak era reformasi pada tahun 1998.
“Anwar adalah calon terbaik untuk menjadi perdana menteri,” tambahnya.
Anwar sebelum ini dijadualkan untuk mengganti Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri namun Majlis Presiden Pakatan Harapan tidak mencapai persetujuan bersama mengenai peralihan kuasa antara kedua-dua pemimpin itu.
Bagaimanapun, perjanjian yang dimeterai untuk Anwar menjadi perdana menteri ke-8 tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya, Dr Mahathir berhenti sebagai PM dan Bersatu yang dipimpin Muhyiddin Yassin meninggalkan PH dan seterusnya menjadi perdana menteri.
Muhyiddin mendapatkan sokongan Umno dan PAS sehingga berjaya mencapai sokongan majoriti tipis untuk beliau dilantik sebagai perdana menteri.
Pakatan Harapan awal bulan ini mencapai konsensus menamakan Anwar sebagai calon perdana menteri setelah sebelum ini tidak bersetuju dengan PKR dan menamakan Dr Mahathir sebagai PM selama enam bulan sekiranya gabungan itu kembali berkuasa.
Semalam, Bersatu yang mendukung Dr Mahathir dan Warisan mengambil keputusan untuk menjauhkan diri dari Pakatan dan tetap bebas. – 11 Julai, 2020.
Komen