KADAR faedah yang rendah berserta suntikan fiskal akan membantu mengurangkan impak pandemik Covid-19 terhadap ekonomi, kata pakar ekonomi.
Pandangan mereka itu berdasarkan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menurunkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 0.25% kepada 1.75%, paras terendah sejak 2004.
“Penurunan kadar faedah berserta suntikan fiskal akan membantu ekonomi bertahan akibat pandemik Covid-19 terhadap ekonomi negara dalam suku kedua dan kesan selanjutnya pada suku kedua berikutnya,” kata Dr Yeah Kim, Profesor Ekonomi di Sunway University Business School.
Beliau memberitahu The Malaysian Insight, penurunan itu juga menunjukkan perlunya sokongan monetari untuk memulihkan ekonomi yang teruk terjejas akibat Covid-19.
Secara tidak langsung juga bermaksud pengguna dan perniagaan akan menikmati bayaran khidmat hutang yang lebih rendah.
Walaupun bank akan mengalami penurunan margin faedah bersih, pendeposit akan mendapat manfaat daripada pendapatan faedah lebih rendah, kata Yeah.
Menurutnya, walaupun kadar faedah lebih rendah akan melemahkan mata wang, nilai ringgit akan menyaksikan sokongan daripada kenaikan harga komoditi dan eksport sekiranya ekonomi pulih lebih cepat berbanding negara lain yang turut terjejas akibat Covid-19.
Ketua Penyelidik dan Felo Penyelidik Kanan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Dr Shankaran Nambiar pula berkata kerajaan tiada pilihan selain menurunkan kadar OPR susulan langkah fiskal yang terhad.
Walaupun kadar faedah yang rendah mungkin tidak akan memacu pelaburan tetapi ia membantu syarikat membayar khidmat hutang mereka, tambahnya.
“Beberapa syarikat tidak akan tutup kerana kadar faedah yang rendah. Ini akan mengimbangi penurunan margin yang diperolehi bank.
“Memandangkan Malaysia bagus dalam menangani kesan Covid-19, saya menjangkakan aliran masuk dana kerana sejak 19 Mac, Indeks Komposit Kuala Lumpur menunjukkan trend peningkatan dan mungkin akan berterusan,” katanya.
Kenanga Research dalam nota pada 8 Julai lalu berkata, pada masa depan ia mengunjurkan penurunan OPR sebanyak 25 mata asas atau basis points (bps) lagi kepada 1.5%, yang dijangka berlaku pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang dijadualkan pada 10 September. – 12 Julai, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen