KEMENTERIAN Pertahanan Rusia dan Pusat Penyelidikan Kebangsaan Epidemiologi dan Mikrobiologi Gamalei telah memulakan tahap akhir ujian klinikal vaksin Covid-19, kementerian itu berkata pada Jumaat.
Menurut Kementerian Pertahanan “rawatan dalam kumpulan sukarelawan pertama, yang diuji keselamatan dan toleransi ke atas vaksin itu, akan berakhir pada 15 Julai”, lapor Agensi Berita Rusia (TASS).
“Pada Isnin, 13 Julai, kumpulan sukarelawan kedua, yang diuji kecekapan dan imunogenik vaksin, akan disuntik dengan komponen kedua vaksin menentang Covid-19,” kata kementerian itu.
“Skim penggalak vaksin, yang dikhususkan untuk kumpulan sukarelawan kedua, akan memperkuat sistem kekebalan tubuh dan juga akan memanjangkan daya tahannya,” menurut kementerian.
Kementerian juga menambah semua sukarelawan berasa sihat, tiada aduan; langsung tidak mengalami kesan sampingan dan kumpulan sukarelawan pertama akan keluar dari Hospital Ketenteraan Burdenko setelah menjalani ujian akhir.
Hasil ujian vaksin Covid-19, yang dilakukan pada sekumpulan sukarelawan di Rusia, menunjukkan mereka membina imuniti terhadap virus berkenaan.
“Seiring dengan protokol penyelidikan, sukarelawan secara berkala mengambil ujian untuk antibodi dan imuniti sel-sel,” kata kementerian itu.
“Data yang diperoleh pusat penyelidikan itu membuktikan sukarelawan kelompok pertama dan kedua membentuk tindak balas imun setelah menerima suntikan vaksin terhadap Covid-19.”
Kementerian Pertahanan mengumumkan pada awal Jun dua kumpulan sukarelawan telah dipilih untuk ujian klinikal vaksin anti-Covid-19. Kumpulan pertama terdiri 50 anggota tentera termasuk lima wanita dan sepuluh anggota perubatan manakala kumpulan kedua terdiri orang awam.
Ujian klinikal vaksin yang dikembangkan oleh pusat penyelidikan itu bermula pada 18 Jun. Lapan belas sukarelawan diberi vaksin melawan Covid-19. – Bernama, 10 Julai, 2020.
Komen