KEBEBASAN media dijamin di Malaysia, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador, selepas timbul protes berhubung tindakan polis menyoal enam wartawan Al-Jazeera yang menerbitkan dokumentari kontroversi layanan Malaysia terhadap pendatang haram ketika krisis Covid-19.
Hamid berkata polis mengambil tindakan kerana laporan berkenaan mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia.
“Saya tiada isu dengan media dan PDRM sentiasa menyokong kebebasan media. Saya akan menegakkan kebebasan media yang bertanggungjawab,” katanya
Bagaimanapun katanya laporan Al-Jazeera itu menyebabkan kemarahan masyarakat umum.
“Terdapat beberapa perkara yang menyentuh (provokasi) emosi rakyat Malaysia. Apabila disiasat, terdapat elemen fakta yang tidak tepat yang cenderung menunjukkan Malaysia teruk.
“Saya telah berbincang dengan pihak Jabatan Peguam Negara untuk meneliti kandungan dokumentari itu dan berpendapat ia mempunyai unsur-unsur hasutan dan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan dan juga Akta Komunikasi Multimedia Malaysia 1998,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di ibu negara.
Hari ini, enam kakitangan Al-Jazeera memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berhubung dokumentari berkenaan.
Polis menyiasat Al-Jazeera di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan kerana laporan kontroversi berhubung pendatang haram.
Antara yang dipanggil adalah penerbit, editor, wartawan, jurukamera dan juruteknik.
Kumpulan berkenaan tiba pada pukul 8.50 pagi ditemani tujuh peguam.
Mereka kemudian meninggalkan Bukit Aman pada pukul 3 petang.
Abdul Hamid berkata individu berkenaan dipanggil sebagai saksi dan bukan sebagai suspek.
“Ini bukan hukuman. Kita panggil mereka sebagai saksi, kita lengkapkan kertas siasatan dan hantar kepada AG untuk semakan dan arahan selanjutnya sekiranya terdapat bukti yang cukup. AG akan putuskan.” – 10 Julai, 2020.
Komen