SELEPAS dua hari tiada kes jangkitan tempatan Covid-19 dilaporkan, hari ini Malaysia melaporkan lima kes jangkitan tempatan daripada 13 kes baharu.
Lapan kes hari ini adalah kes import, seterusnya menjadikan jumlah keseluruhan kes Malaysia kepada 8,696.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media hari ini berkata, tiga kes baharu jangkitan tempatan melibatkan warganegara dan dua lagi warga asing.
Dua warga asing itu menjalani saringan Covid-19 di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk dihantar pulang ke negara mereka sebelum disahkan positif Covid-19.
Tiga kes melibatkan warganegara pula terdiri daripada dua kes di Sarawak dan kedua-duanya adalah pesakit Jangkitan Pernafasan Akut Teruk dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.
Kes ketiga dikesan dalam saringan sebelum mula bekerja di Kuala Lumpur.
Sementara itu, 12 pesakit lagi disahkan pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini.
Data terbaru menjadikan jumlah kes pulih wabak di negara ini adalah sebanyak 8,511 atau 97.9% daripada jumlah keseluruhan kes.
Masih terdapat 64 kes aktif di negara ini.
Tiada kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah korban kekal 121 orang.
Dua pesakit masih dirawat di ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan. – 10 Julai, 2020.
.jpg)


Komen