NIK Faisal Ariff Kamil, bekas ketua pegawai eksekutif SRC International Sdn Bhd yang hidup dalam buruan, dipercayai menetap di Hong Kong sekarang, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Katanya, Nik Faisal yang sebelum itu tinggal di Jakarta, Indonesia melarinkan diri ke Hong Kong bersama isteri dan anak lelakinya.
“Nik Faisal ada di Hong Kong bersama isteri dan anak lelakinya. Ini maklumat terkini yang kita dapat.
“Kita sudah hubungi rakan kita di Hong Kong… mungkin media boleh tanya polis Hong Kong apa statusnya,” katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Nik Faisal lari meninggalkan Malaysia pada 7 Mei 2018, dua hari sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, dan dua hari sebelum pentadbiran Malaysia bertukar.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah dua kali merakamkan kenyataan beliau pada 2015.
Beliau dikehendaki dalam siasatan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan syarikat pelaburan kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Mengenai seorang lagi buruan Low Taek Jho atau Jho Low, Hamid berkata ahli perniagaan itu dikesan muncul di beberapa lokasi antaranya Thailand, Macau dan Hong Kong.
“Saya tidak akan lengahkan usaha menangkap beliau. Selagi saya ketua polis negara, saya akan terus memburunya,” katanya.
Pada Ogos lalu, pihak berkuasa mengemukakan pertuduhan terhadap Jho Low dan bapanya mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Pertuduhan itu melibatkan dana yang didakwa diselewengkan dari 1MDB.
Jho Low dikenakan lapan pertuduhan mengubah wang haram melibatkan jumlah AS$443 juta (RM1.8 bilion). – 10 Julai, 2020.
Komen