PUTRAJAYA memberi kebenaran kepada pertandingan sukan berpasukan bermula 15 Ogos ini namun terhad dengan syarat tidak melibatkan kehadiran penonton, umum Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob.
Kelonggaran ini membolehkan pertandingan bola sepak Liga Malaysia yang tertangguh sejak lima bulan lalu disambung semula.
“Sukan bersentuhan fizikal bagi sukan berpasukan seperti bola sepak, ragbi, hoki, sepak takraw dan skuasy dibenarkan bermula pada 15 Ogos ini.
“Contoh kejohanan untuk sukan berpasukan adalah Liga Super dan Liga Perdana bagi bola sepak, Liga Sepak Takraw (STL), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Ragbi. Ini liga yang dibenarkan untuk memulakan pertandingan mereka nanti,” katanya dalam sidang media harian yang disiarkan secara langsung melalui televisyen dan Facebook.
Ismail menjelaskan kejohanan sukan berpasukan yang dibenarkan itu bagaimanapun terhad kepada acara tempatan.
“Penganjuran acara antarabangsa yang membabitkan peserta luar negara tidak dibenarkan sama sekali buat masa ini,” tambahnya.
Menurut Ismail, mesyuarat khas menteri mengenai pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) juga bersetuju untuk membenarkan pengusaha padang, gelanggang futsal, fasiliti sukan dan akademi beroperasi semula mulai 15 Julai.
Semua kegiatan sukan dan penganjuran kejohanan yang dibenarkan bagaimanapun tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan, tambahnya. – 10 Julai, 2020.
Komen