AUSTRALIA akan mengurangkan jumlah rakyatnya yang dibenarkan kembali ke negara itu kepada separuh ketika ia berusaha mengekang wabak koronavirus di kota terbesar kedua, kata para pegawai pada Jumaat.
Mulai Isnin, hanya 4,000 rakyat Australia atau penduduk tetap dibenarkan masuk ke negara ini setiap hari, menurun daripada kira-kira 8,000 orang pada masa ini, kata Perdana Menteri Scott Morrison.
Pengumuman itu dibuat ketika pegawai di negeri Victoria melaporkan 288 kes Covid-19 baharu terutamanya di ibu negeri, Melbourne.
Kira-kira 5 juta penduduk Melbourne dikenakan perintah berkurung selama enam minggu dalam usaha mengekang wabak itu.
Pihak berkuasa kesihatan berkata perlu beberapa minggu untuk mengetahui apakah pelaksanaan kawalan di Melbourne berjaya membendung lonjakan itu.
Australia menutup sempadan antarabangsa untuk semua kecuali warganegara dan penduduk tetap pada akhir Mac ketika koronavirus meningkat.
Semua pelancong yang pulang diwajibkan menjalani kuarantin di hotel.
Morrison berkata had rakyat Australia yang kembali akan dikenakan sehingga wabak Melbourne dapat dibendung.
Pelanggaran kesihatan dan keselamatan di hotel kuarantin di Melbourne dipersalahkan kerana mencetuskan wabak di sana, dan pelancong luar negara yang kembali menyumbang sebahagian besar kes Covid-19 di Australia. – AFP, 10 Julai, 2020.
Komen