AS catat rekod bilangan harian lebih 65,000 kes baharu


Ketika AS mula melonggarkan sekatan, banyak negeri menyaksikan lonjakan melebihi penanda aras bagi jangkitan Covid-19. – Gambar EPA, 10 Julai, 2020.

AMERIKA Syarikat (AS) pada Khamis mencatatkan rekod bagi 65,551 kes koronavirus baharu, bagi tempoh 24 jam, menurut perkiraan Universiti Johns Hopkins.

Negara yang paling teruk terjejas di dunia oleh wabak ini, memiliki kes lebih 3.1 juta, dengan 133,195 kematian.

Catatan harian sebelum ini adalah pada Selasa, dengan lebih 60,200 kes dalam satu hari.

AS menyaksikan lonjakan kes jangkitan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, terutama di selatan dan barat, dan pakar kesihatan bimbang situasi yang sama akan berlaku pada jumlah kematian.

Menurut  Johns Hopkins pada pukul 8.30 malam (0030 GMT Jumaat), seramai 1,000 orang maut akibat Covid-19 di AS dalam tempoh 24 jam terakhir.

“Kita berada dalam masa yang sangat sukar dan mencabar sekarang,” kata pakar penyakit berjangkit AS, Anthony Fauci pada Khamis semasa telekonferensi yang dianjurkan oleh media The Hill.

Ketika negara itu mulai dibuka kembali, banyak negeri menyaksikan lonjakan melebihi penanda aras, kata Fauci, merujuk pada petunjuk kadar jangkitan perlahan yang diperlukan agar negeri mulai berhenti beroperasi.

“Saya rasa kita harus mengarahkan negeri menghentikan proses pembukaan mereka,” katanya, tetapi menambahkan: “Saya rasa kita tidak perlu kembali ke tahap perintah berkurung.” – AFP, 10 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen