Presiden interim Bolivia positif Covid-19


Presiden interim Bolivia Jeanine Anez membuat pengumuman dirinya positif Covid-19 dan sedang menjalani kuarantin. – Gambar EPA, 10 Julai, 2020.

PRESIDEN interim Bolivia, Jeanine Anez pada Khamis mengumumkan beliau positif koronavirus.

“Saya didapati positif ujian Covid-19, saya baik-baik saja. Saya akan bekerja daripada pengasingan,” katanya.

Pemimpin berusia 53 tahun itu berkata dalam rakaman video di Twitter yang beliau akan berada dalam kuarantin selama 14 hari sebelum menjalani ujian lain.

Anez menjadi presiden Amerika Selatan kedua dalam beberapa hari selepas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro mengumumkan keputusan positifnya pada Selasa.

Seorang lagi pegawai pemerintah tertinggi Amerika Latin yang dijangkiti virus itu ialah Presiden Majlis Perlembagaan Venezuela, Diosdado Cabello, yang secara meluas dianggap individu kedua paling berkuasa selepas Presiden Nicolas Maduro.

Empat anggota Kabinet Anez juga positif koronavirus dalam beberapa hari lalu, sementara Presiden Senat Eva Copa menjalani pengasingan diri pada Rabu sebagai langkah berjaga-jaga.

“Memandangkan ramai diuji positif sejak minggu lalu, saya mengambil ujian dan juga positif,” kata Anez.

Penyakit dialami pemimpin interim itu dialami ketika Bolivia bersiap untuk pilihan raya umum dalam waktu kurang dari dua bulan, walaupun negara dilanda wabak koronavirus.

Anez pada awalnya menentang pilihan raya pada September, dengan berkata ia harus ditunda “satu atau dua bulan” kerana wabak itu, tetapi akhirnya mengalah.

Ahli politik konservatif itu memegang jawatan presiden interim pada November selepas bekas pemimpin sosialis Evo Morales mengundurkan diri dan melarikan diri dari negara itu susulan tiga minggu rusuhan berhubung pemilihan semulanya yang kontroversi.

Morales mencalonkan diri untuk penggal keempat berturut-turut walaupun perlembagaan mengehadkan presiden bagi dua penggal berturut-turut sahaja.

Walaupun pada awalnya beliau berusaha untuk memegang tampuk kekuasaan, beliau hilang sokongan daripada angkatan bersenjata setelah laporan oleh Organisasi Negara Amerika menemui bukti penipuan pilihan raya yang membawa kepada kemenangannya.

Bolivia yang mempunyai 11 juta penduduk, mencatatkan hampir 43,000 jangkitan koronavirus dan lebih 1,500 kematian.

Kerajaan menjangkakan 130,000 kes menjelang pilihan raya diadakan.

Lebih 12 juta orang di seluruh dunia dijangkiti virus itu, dan hampir separuh daripadanya di Amerika Latin dan Amerika Syarikat. – AFP, 10 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen