PROGRAM bantuan makanan bernilai RM2 juta untuk mereka yang terjejas wabak Covid-19 akan dilancarkan hari ini oleh Yayasan ECM Libra.
Di bawah program ini, masyarakat terpinggir dan golongan miskin bandar akan diberi makan selama enam hingga 12 bulan.
Pengerusi Yayasan Kalimullah Hassan berkata, inisiatif itu mendapat sokongan individu terkemuka dan tokoh korporat.
“Kami juga berjanji untuk menyelaraskan sumbangan daripada rakan kami bagi RM1 juta lagi, menjadikan jumlah sumbangan sebanyak RM2 juta.
“Dana akan mencukupi untuk memberi makan kepada 1,000 hingga 2,000 keluarga selama enam hingga 12 bulan.”
Beliau berkata yayasan itu tidak menerima dana daripada orang ramai.
“Para penderma hanya dari kalangan rakan dan kenalan kami, dan ia akan disalurkan terus kepada penerima melalui kumpulan masyarakat sivil yang mengambil bahagian.”
ECM Libra akan melibatkan 10 organisasi yang memberi tumpuan kepada komuniti berlainan, termasuk Orang Asli, ibu tunggal, B40, anak yatim, pelarian, pekerja migran dan tanpa kewarganegaraan.
“Kumpulan ini paling teruk terjejas. Sejak perintah kawalan gerakan (dikuatkuasakan), banyak yang bergelut untuk mendapatkan makanan untuk diri sendiri dan keluarga mereka,” kata Kalimullah.
“Dalam banyak kes, mereka harus menggadaikan barang kemas, menjual kereta dan motor, dan melakukan jenayah kecil, seperti mencuri susu formula bayi, lampin bayi, Milo dan bahkan petai untuk memberi makan kepada keluarga mereka yang kelaparan.”
Antara kumpulan yang akan bekerjasama dengan yayasan tersebut ialah Pertiwi Soup Kitchen, Kechara Soup Kitchen, Yayasan Chow Kit, Good Shepherd Services, Women:girls (kakiseni) dan Sisters of Jannah Amal.
Program bantuan makanan dijadualkan dimulai minggu depan, dan akan dipantau oleh Tetuan Kesavan Advocates & Solicitors, firma perundangan terkemuka Chooi & Company + Cheang dan Ariff, serta KPMG, yang bersetuju untuk memberikan perkhidmatan mereka secara pro bono.
Pertandingan squash antara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia Tony Fernandes dan hartawan hartanah Salim Fateh Din akan diadakan bulan depan untuk mengumpulkan dana bagi program ini.
Perlawanan yang diberi nama “The Battle of the Bulge”, akan disiarkan di Astro, dan berusaha mengumpulkan sumbangan daripada kenalan dan rakan perniagaan duo korporat itu. – 10 Julai, 2020.
Komen