Tak salah sumbang RM100,000 dana Jakim pada tadika PAS, kata timbalan menteri


Diyana Ibrahim

Timbalan menteri hal ehwal agama Ahmad Marzuk Shaary berkata, sumbangan itu sememangnya perlu disalurkan kepada semua yang terbeban kerana pandemik Covid-19 tanpa mengira parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2020.

SUMBANGAN RM100,000 dana kerajaan kepada pusat pendidikan prasekolah milik PAS tidak menyalahi mana-mana undang-undang, kata timbalan menteri dari parti itu Ahmad Marzuk Shaary.

Timbalan menteri hal ehwal agama itu berkata, dana Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) itu juga tidak patut dipolitikkan.

Jelasnya, sumbangan itu sememangnya perlu disalurkan kepada semua kaum dan golongan yang terbeban kerana pandemik Covid-19 tanpa mengira parti.

Malah dana dari Tabung Musa’adah itu juga diberikan kepada warga asing seperti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), jelasnya kepada The Malaysian Insight.

“Pertama bantuan Covid Tabung Musa’adah untuk mereka yang terjejas sebab Covid, bantuan ini tidak mengira parti.

“Warga asing pun kita bagi dalam tempoh PKPD itu walau pun sebenarnya tidak jadi amalan begitu tapi atas dasar kemanusiaan (kita bagi) jadi kenapa hendak pertikaikannya.

“Dari segi undang- undang pun tidak salah, kita dibenarkan,” katanya.

Beliau menjelaskan kontroversi yang timbul selepas menyerahkan RM100,000 dana Jakim kepada Pasti dalam satu majlis pada Isnin.

Penyerahan dana tersebut juga dipertahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menyatakan sekolah itu layak menerima sumbangan tersebut.

Pasti merupakan pusat pendidikan prasekolah Islam yang ditubuhkan PAS sejak 1988 dan lebih dikenali sebagai tempat anak-anak ahli parti berkenaan mendapatkan pendidikan awal.

Marzuk yang juga ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata sumbangan kepada Pasti patutnya disokong dan bukannya dikritik.

Beliau berkata selama ini guru Pasti menjalankan kerja sukarela mengajar kanak-kanak dengan elaun yang sedikit dan sumbangan itu sedikit sebanyak dapat membantu golongan tersebut.

“Pasti ini entiti yang dilihat melaksanakan kerja pendidikan awal kanak kanak secara sukarela . Guru dapat elaun minimum dan sumbangan penghargaan dapat meringankan sedikit beban mereka

“Jadi tak perlu dipolemik atau dipolitik kerana mereka juga anak anak yang berhak. Sekolah Pasti juga berbeza dengan taska di bawah kerajaan yang ada infrastruktur yang sangat bagus

“Jadi sangat tidak patut ada orang mempertikaikan bantuan kepada entiti yang melaksanakan kerja pendidikan serba kedaifan dan mereka patut menerima bantuan itu,” katanya. – 9 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen