KLUSTER Covid-19 melibatkan sebuah syarikat pembersihan yang mana sekurang-kurangnya empat orang dijangkiti sudah berjaya dikekang sepenuhnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, hari ini.
Kesemua empat pesakit itu adalah warga Indonesia, dengan tiga daripada mereka bekerja dengan syarikat pembersihan itu, seorang lagi adalah kontak rapat.
“Kluster ini telah dikesan hasil saringan 10 orang pekerja bukan warganegara. Saringan tersebut merupakan inisiatif majikan syarikat tersebut untuk menyaring pekerja-pekerja bukan warganegara mereka,” katanya.
Setakat hari ini, 33 orang disaring berkaitan kluster itu terdiri daripada 17 warga tempatan dan bakinya warga asing.
Kluster itu mula dikesan pada 24 Mac di Kuala Lumpur, dan yang pertama dikesan dalam kalangan 15 kluster berkaitan tempat kerja.
11 lagi kluster tempat kerja juga sudah dikekang sepenuhnya, dan empat lagi masih aktif.
15 kluster itu termasuklah tapak pembinaan di Kuala Lumpur, pengawal keselamatan di Cheras, kilang di Pedas dan pasar Chow Kit.
Sejumlah 10,362 orang disaring daripada 15 kluster berkenaan.
Daripada jumlah itu, 4,242 atau 40.9% adalah warga Malaysia sementara 6,120 (45.3%) adalah warga asing.
Jumlah kes terkumpul 15 kluster berkenaan adalah 722, dengan 122 adalah warga Malaysia dan 600 adalah warga asing.
Berdasarkan pecahan negara pula, 234 adalah warga Bangladesh, 212 (Nepal) dan 109 warga Indonesia.
Terdapat juga 36 pesakit warga Myanmar, tujuh dari India dan masing-masing seorang dari Kemboja dan Vietnam.
Dr Noor Hisham juga mengingatkan majikan supaya memastikan pekerja mereka mematui SOP dan menguatkuasa langkah pencegahan bagi mengelak penularan Covid-19. – 9 Julai, 2020.

Komen