MOHD Shafie Apdal percaya beliau adalah jawapan kepada kemelut menyelubungi gabungan pembangkang berkaitan calon perdana menteri sekiranya tampuk Putrajaya berubah.
Katanya, keputusan mengenai isu itu masih tidak mencapai kata sepakat kerana perbezaan pandangan antara parti komponen Pakatan Harapan Plus.
“Bila saya dicadangkan sebagai calon perdana menteri, ia adalah untuk menyelesaikan kemelut politik semasa.
“Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan terbaru dikeluarkan Pakatan Harapan menunjukkan mereka masih tidak dapat buat keputusan.
“Saya percaya saya adalah penyelesaian kepada kemelut ini tetapi kita boleh lihat masih tak dapat buat keputusan. Sekarang kami masih tidak ada keputusan yang sangat jelas,” katanya dipetik Malaysiakini, hari ini.
Dr Mahathir mencalonkan Shafie yang juga ketua menteri Sabah dan ahli Parlimen Semporna itu susulan kemelut dalaman PH mengenai isu calon perdana menteri.
Menurut Dr Mahathir, cadangannya itu turut disokong sekutunya, Warisan, DAP dan Amanah, maka PKR perlu membuat keputusan mengenainya.
Bagaimanapun pada 6 Julai lalu, Majlis Presiden PH terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah memutuskan mereka mahu menggunakan keputusan awal sebelum ini yang mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri PH.
Pembangkang dijangka bergantung kepada usul tidak percaya yang akan dibentangkan Dr Mahathir terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada sidang Parlimen akan datang bagi membolehkan mereka kembali berkuasa. – 9 Julai, 2020.
Komen