Respons positif terhadap gabungan Dr Mahathir-Wan Azizah


Low Han Shaun

Majoriti pengguna media sosial bersetuju dengan gabungan Dr Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri interim sekiranya Pakatan Harapan menang pada pilihan raya umum akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2017.

MAJORITI pengguna media sosial memberikan reaksi positif kepada berita Dr Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menjadi perdana menteri interim dan timbalan perdana menteri sekiranya pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). 

The Malaysian Insight menjalankan undian untuk mengenal pasti sama ada pengguna Facebook dan Twitter bersetuju dengan cadangan itu sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang. 

Keputusan pada jam 6 petang menunjukkan 600 (55.8%) mengundi “ya” manakala 475 (44.2%) memilih “tidak”. Facebook mempunyai 493 pengguna memilih “ya” dan 360 pengguna memilih “tidak” manakala di Twitter, 107 mengundi “ya” dan 115 mengundi “tidak”.

Kebanyakan pengguna Facebook seperti Lee Chee Wat dan Herbert Tang bersetuju gandingan dua pemimpin itu menerajui negara sebelum penasihat PH Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara tahun depan. 

“Saya setuju Dr Mahathir sebagai PM dan Dr Wan Azizah sebagai timbalan perdana menteri tetapi ini hanya interim,” komen Lee. 

“Anwar akan menjadi perdana menteri ketujuh,” komen Tang.

Bagaimanapun, mereka yang tidak bersetuju mempunyai pandangan tersendiri.

“Bodoh la PH…22 tahun di bawah rejim Mahathir, sekarang mahu letak dia kembali berkuasa,” komen pengguna Abu Ammar Alattas. 

“Memandangkan mereka adalah interim, perdana menteri sebenar perlu dinamakan. 

“Perlu ada alternatif sekiranya Anwar tidak mendapat pengampunan diraja,” komen pengguna Shahrul Idzwan Shaari. 

Anwar dijangka dibebaskan pada pertengahan tahun hadapan, dengan atau tanpa pengampunan diraja. 

Ada yang mengambil langkah seterusnya dan mahukan “muka baharu”, mencadangkan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali sebagai pengganti. 

“Saya rasa pemimpin yang lebih dinamik diperlukan. Dr Mahathir elok jadi menteri kanan manakala Dr Wan Azizah perlu beri laluan kepada Azmin,” komen Jeffrey JShing Ng.

“Rafizi untuk timbalan perdana menteri,” komen Andyktchong Ktchong.

Semalam, parti dalam PH kecuali PKR bersetuju menamakan dua pemimpin itu sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri interim pada retreat dua hari yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada 1 dan 2 Disember. 

“Bersatu, Amanah dan DAP sudah bersetuju, hanya PKR yang belum mencapai persetujuan,” kata sumber yang turut hadir pada program itu kepada The Malaysian Insight. 

The Malaysian Insight juga difahamkan, Wan Azizah juga bersetuju dengan cadangan itu pada dasarnya, tetapi berdepan tentangan beberapa pihak dalam partinya. 

“Kita perlu tangguhkan keputusan kerana PKR mahu berbincang dengan (mesyuarat) Biro Politik mereka,” tambah sumber berkenaan. – 4 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen