Putrajaya benar pawagam pandu masuk beroperasi


Pawagam kembali dibenarkan beroperasi awal bulan ini selepas ditutup sejak Mac lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2020.

PUTRAJAYA membenarkan pawagam pandu masuk beroperasi selagi mana ia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Kebenaran ini membolehkan pengguna menonton filem pilihan mereka di dalam kereta dan tidak terperap dalam kawasan tertutup seperti panggung wayang.

“Mesyuarat Khas juga telah bersetuju untuk membenarkan permohonan aktiviti pawagam pandu masuk (drive-in cinema) tertakluk kepada SOP yang ditetapkan termasuk pengunjung mesti berada di dalam kenderaan masing-masing, penjualan makanan dibuat atas talian (on-line) dan mengambil makanan secara pandu lalu (drive-thru),” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Tambahnya, anggota Rela juga akan ditempatkan bagi mengawal pergerakan pengunjung.

Kerajaan membenarkan pawagam dibuka semula awal bulan ini selepas ditutup sejak bermulanya perintah kawalan pergerakan (PKP), 18 Mac lalu.

Ia dibenarkan beroperasi tetapi perlu mematuhi SOP kesihatan dan kebersihan ketat.

Tambah Ismail Sabri lagi, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan memberikan butiran SOP untuk rujukan pengendali pawagam pandu masuk.

Sementara itu, menteri kanan itu juga dalam kenyataan sama menyatakan Task Force Operasi Pematuhan sudah menjalankan 66,629 pemeriksaan setakat semalam untuk memantau kepatuhan SOP sepanjang perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Katanya, pasukan itu memantau 3,804 pasar raya, 5,913 restoran serta 1,316 penjaja, 1,247 kilang, 3,676 bank dan 860 pejabat kerajaan.

“Juga 1,184 terminal pengangkutan darat, 267 terminal pengangkutan air serta 122 terminal pengangkutan udara telah dipantau oleh Task Force Operasi Pematuhan.

“PDRM telah menahan dan mengeluarkan kompaun kepada 11 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti yang melanggar SOP,” katanya lagi.

Tambahnya, polis juga membuat 66 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksa 39,407 kenderaan bagi mengekang cubaan kemasukan pendatang asing tanpa izin.

“PDRM telah berjaya menahan 10 warganegara asing kerana kesalahan imigresen.” – 9 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen