Tanggungjawab Muslim dan amanah Tuhan


Mohd Syazreen Abdullah

BAGI kebanyakan orang, Muslim ialah gelaran bagi seorang yang beragama Islam. Seseorang yang mengucap dua kalimah syahadah. Mereka berserah diri kepada Tuhan. Percaya terdapat hanya satu Tuhan. 

Namun, Muslim ada klasifikasinya. Ada yang baik dan sebaliknya. 

Sabda Nabi, Muslim terbahagi kepada dua. Muslim yang pertama, setia dan amanah pada ajaran Tuhan. Manakala, Muslim yang kedua, mengkhianati amanah perjanjian ajaran Tuhan. 

Maka, Muslim yang patuh, Nabi sebut sebagai Muslim yang beriman. Mereka itu orang-orang yang memelihara kemulian agama dan mempunyai ketulusan hati dalam menyebarkan nilai-nilai beragama yang benar.

Mereka ini layak digelar sebenar-benarnya Muslim. Dalam erti Muslim yang memanifestasi sikap kemanusiaan dengan kepatuhan sepenuhnya untuk Tuhan. Disebut dengan penyerahan total “self-surrender to God”. 

Dengan kata lain, Muslim yang merujuk daripada kata kerja aslama – seseorang yang menyerah diri, yang akhirnya melaksanakan ajaran kemanusiaan.

Mereka ini mengikat tali perjanjian amanah bagi tujuan menyempurnakan keberhutangan antara hamba dengan Tuhan – tanggungjawab. 

Mereka bertanggungjawab dengan amanahnya di atas bumi ini. Demikian, kata amanah itu merujuk kepada orang yang jujur dan dipercayai yang berakar daripada istilah “amuna” sehingga berkembang menjadi makna iman, mukmin dan aman. 

Mereka ini Muslim yang mencintai keamanan sekaligus membenarkan ajaran Tuhan. Maka, manifestasi Tuhan dapat diterjemahkan daripada sikap orang-orang yang beriman seperti ini. Kerana mereka memahami agama dengan ketakutan, cinta dan makrifat kepada Tuhan.

Demikian, ini adalah pengertian Muslim pertama menurut Nabi SAW – Muslim yang amanah dengan perjanjian Tuhan.

Siapakah ghasyasyah?

Sementara Muslim yang tidak patuh dan mengkhianati ikatan perjanjian dengan Tuhan itu digelar pula sebagai ghasyasyah – orang yang tidak amanah. 

Justeru, ghasyasyah lawan bagi Muslim yang setia lagi amanah dengan nilai-nilai agama. Sebaliknya, perbuatan daripada ghasyasyah ini mempermainkan dan mengeksploitasi ajaran Tuhan demi kepentingan politik, kepuasan peribadi dan nafsu keduniaan. 

Kata Imam Ali bin Abi Thalib bahawa sikap golongan ghasyasyah ini muncul selepas kewafatan Nabi.

Beliau menyaksikan kezaliman, penindasan dan pengkhianatan terjadi di hadapannya sebagaimana dilakukan oleh kelompok ghasyasyah seperti Busr bin Arthah, Nu’man bin Basyir, Sufyan bin Auf, Al-Dhahhak bin Qais dan lain-lain. 

Kata Ali, yang menyedihkan lagi ketika mana kezaliman dan penindasan sedang bermaharajalela, tetapi manusia tidak mahu melawan kemungkaran. Masing-masing sekadar melepaskan diri. 

Akhirnya, masyarakat bukan sahaja takut untuk melawan kejahatan oleh puak ghasyasyah, bahkan cenderung terhadap kebatilan.

Dengan sikap lembik kaum Muslimin itu, maka Saidina Ali telah berkhutbah tentang hal ini sebagaimana dinukilkan dalam kitab Nahj Balaghah:

“Ketahuilah oleh kalian, semoga Allah merahmati kalian. Kalian hidup pada satu zaman yang mana orang yang bercakap benar adalah sedikit. Ketika lidah mereka menjadi kelu untuk mengatakan kebenaran di hadapan kemungkaran, ketika orang-orang yang mahu menegakkan hak direndah-rendahkan. 

“Maka sesungguhnya penghuni di zaman ini tenggelam dengan kemaksiatan dan keasyikan dalam penderhakaan. Pemudanya berandal, manakala orang-orang tuanya berdosa. Orang-orang alim pula sikapnya munafik, pembicaraannya menjilat. Yang kecil tidak hormat yang besar, dan yang kaya tidak memelihara yang fakir.”

Khutbah ini menegaskan betapa peranan Muslim itu tidak ada yang lebih besar melainkan membela nasib kemanusiaan. Seperti melawan kemungkaran. Melainkan bagi orang-orang yang digelar ghasyasyah pula yang menghancurkan. 

Muslim tidak boleh hipokrit di hadapan kemungkaran. Justeru, Muslim yang benar, tidak ada kompromi terhadap jenayah xenofobia, pengkhianatan, fasis, rasuah, gangguan seksual, dan keganasan dalam rumah tangga. Dan banyak lagi jenayah ghasyasyah kalau hendak disebut. 

Kelakuan mereka ini bertentangan daripada roh kemanusiaan dan keadilan dalam semangat agama. Sebagaimaan mereka putuskan ikatan suci amanah dengan Tuhan.

Mereka tidak setia dengan janji Tuhan – untuk menjadi Muslim yang baik. 

Jadi sebagai Muslim, kita tidak boleh membiarkan sahaja kerja-kerja kezaliman dan penindasan terus mendapat tempat di tengah masyarakat yang mana telah dimonopoli oleh Muslim yang tidak amanah – ghasyasyah. Sedangkan menutupi kemungkaran, merupakan tanggungjawab bagi setiap Muslim. 

Tidak guna kita mengaku Muslim, tetapi memilih bersekongkol dengan kezaliman. Tiada alasan dan sebab yang lebih besar melainkan keadilan dan kemanusiaan dapat ditegakkan. Ini perinsip yang setiap Muslim wajib berpegang – keadilan mesti ditegakkan walau sepahit mana pun harus dilalui.

Sebagaimana kesedihan yang dilalui oleh Saidina Ali, hari ini seolah kerosakan daripada budaya perbuatan-perbuatan ghasyasyah ini menjadi semakin hari telah dinormalisasikan dalam fikiran masyarakat kita. Mereka tidak rasa ia suatu panggilan moral untuk sama-sama kita bangkit melawan.

Tanggungjawab moral

Kesalahan perbuatan ghasyasyah ini tidak boleh dimaafkan. Setiap kita harus berjuang menentangnya. Ini sebuah tanggungjawab moral bersama. Tanda kebencian kita terhadap perbuatan maksiat tersebut. 

Namun, kesedaran moral untuk bangkit melawan tidak hadir melainkan kita benar-benar memahami tanggungjawab diri. Tugas atau amanah asal kita sebagai hamba Tuhan. Sejalan dengan hadis Rasulullah mengatakan “al-Dîn al-nashîhah” (agama itu kesetiaan). 

Mereka yang tidak setia terhadap perjanjian ini seringkali tergelincir mengabaikan amanah yang diberikan. 

Mereka harus menyampaikan “al-nashîhah”dalam konteks memelihara agama dengan melawan kemungkaran yang bertentangan dengan perinsip kemanusiaan. Itupun sekiranya mereka benar-benar memahaminya. 

Barangkali kelompok yang menyokong perbuatan ghasyasyah ini tidak sedar tentang keberadaan dan tanggungjawab mereka di atas muka bumi Tuhan ini. 

Atas sebab itu, banyak kemungkaran dalam dunia, tetapi manusia tidak takut tentang kemungkaran itu. Kemungkaran tidak kenal agama, bangsa dan kaum.

Mereka tidak sedar diri yang mana dirinya itu sedang berhutang dengan Tuhan – melangsaikan amanah Tuhan dengan sebaik-baik nama-Nya

Maka akibat daripada kekeliruan memahami tujuan Muslim, seseorang itu boleh mengeksploitasikan tentang tanggungjawabnya sebagai khalifah. Dia sewenang-wenangnya menggunakan agama demi menghalalkan kezalimannya. 

Sehubungan itu, Tuhan telah memberikan amanah berupa tanggungjawab dengan sedikit kebebasan kepada hambaNya untuk menentukan dan merealisasikan segala intipati perjanjian di atas dunia ini. 

Dengan itu, nilaian Tuhan kepada hamba-Nya berdasarkan sejauh mana kita merealisasikan nilai-nilai tersebut – Moral. Antara melaksanakan dengan memilih nashîhah atau sebaliknya, ghasyasya. 

Kadangkala, kita terlupa dan tergelincirnya tanpa kita sedari ini, bahawa ia datang daripada kelesuan tauhid dalam memahami makna tanggungjawab Muslim itu sendiri. 

Oleh kerana itu, tanggungjawab pilihan moral bergantung daripada diri kita. Justeru, Muslim yang baik, sentiasa dalam peringatan dan tidak lalai melupakan.

Maka, kotakan janji Tuhan: Menjadi Muslim yang beramanah! – 9 Julai, 2020.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen