PERSATUAN Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) hari ini berkata ada pesakit tertangguh rawatan mereka sehingga enam bulan, lapor The Star.
Presidennya Dr Saunthari Somasundara berkata ini disebabkan jadual hospital bagi rawatan yang terjejas oleh pandemik Covid-19.
“Pesakit mengelak ke hospital kerana Covid-19 dan hospital juga berhati-hati ketika menerima mereka.
“Jumlah mereka yang didiagnosis dan berdaftar yang mengunjungi hospital menurun,” katanya.
Beliau berkata kebanyakan hospital yang merawat mereka juga digunakan untuk pesakit Covid-19.
“Terdapat percubaan untuk mengalihkan pesakit ke perkhidmatan kesihatan swasta dengan kerajaan membayarnya tetapi ramai pesakit tidak mengetahui mengenainya.
“Sekarang ketika keadaan lebih senggang, pesakit akan kembali menjalani rawatannya, tetapi ada yang sudah tertunda dan terdapat kelewatan. Ia melibatkan kira-kira tiga hingga enam bulan kelewatan dari segi rawatan.”
Kebimbangan lain yang diajukan oleh Saunthari adalah mengenai kumpulan yang terdiri daripada mereka yang belum didiagnosis tetapi mempunyai gejala dan perlu disaring.
Ini dibangkitkan semasa taklimat secara maya mengenai laporan tentang “Cancer preparedness in Asia-Pacific: Progress Towards Universal Cancer Control” yang dikeluarkan oleh Economist Intelligence Unit (EIU).
Menurut laporan itu, Malaysia menduduki tempat ketiga dalam kesiapsiagaan kanser di Asia Pasifik, di belakang Australia dan Korea Selatan. Malaysia memperoleh 80.3 daripada 100, berbanding Australia (92.4) dan Korea Selatan (83.4).
Laporan itu berkata Malaysia menunjukkan prestasi yang baik dari segi polisi, perancangan dan pelaksanaan penjagaan.
Namun, ia berkata kemajuan lebih lanjut boleh dibuat dalam kategori sistem kesihatan dan tadbir urus untuk meningkatkan kesiapsiagaan kanser secara keseluruhan.
Sehingga 2017, kanser menjadi penyebab kematian kedua tertinggi di Malaysia. – 9 Julai, 2020.
Komen